Hujan Lebat Di Kuala Lumpur: Banyak Kawasan Dinaiki Banjir & Tanah Runtuh Terjadi
Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Lembah Klang berdepan dengan hujan lebat pada pagi ini (15 Oktober), menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dan berlaku tanah runtuh. Lokasi-lokasi yang terjejas termasuklah kawasan sekitar Bank Rakyat, Wisma Bernama, dan Bank Negara, dengan beberapa jalan utama dilaporkan terhalang akibat banjir.
Banjir Melanda Banyak Kawasan
Video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial menunjukkan beberapa kawasan utama di ibu kota, termasuk hadapan Wisma Central dan Menara Berkembar Petronas, dilimpahi air hingga paras buku lali, bahkan terdapat kenderaan yang separa tenggelam akibat banjir. Keadaan ini turut melibatkan kawasan Universiti Malaya (UM), di mana paras air di laluan menuju kampus mencecah paras betis, menyebabkan pihak berkuasa menasihati orang ramai untuk mengelak menggunakan jalan tersebut.
Parlimen Ditangguhkan
Hujan lebat turut menyebabkan Parlimen Malaysia terpaksa ditangguhkan selama 30 minit kerana laluan yang dinaiki air menghalang Menteri dan Ahli Parlimen daripada tiba di lokasi berkenaan. Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, turut mencuit tentang kesan perubahan iklim ini yang memberi impak besar kepada ramai orang, dengan kerosakan harta benda dan risiko penyakit air.
Penutupan Terowong SMART
Susulan banjir yang melanda, Terowong SMART di Kuala Lumpur terpaksa ditutup sepenuhnya untuk laluan orang ramai. Pusat Kawalan Trafik SMART telah mengaktifkan Mode 3 sejak jam 10:10 pagi untuk membantu penyuraian air banjir dari Sungai Klang-Sungai Ampang ke Kolam Berembang.
Tanah Runtuh di Taman Melawati
Selain banjir, kawasan perumahan di Taman Melawati turut terjejas dengan kejadian tanah runtuh. Kejadian ini dipercayai berlaku di sekitar Jalan E6 dan dikatakan bukan kali pertama berlaku di kawasan tersebut.
Amaran Hujan dari MetMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sehingga 1:00 tengah hari ini. Selain itu, negeri-negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor, dan Negeri Sembilan juga dinasihatkan untuk berjaga-jaga.
Nasihat dari Bomba
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menggesa orang ramai untuk menangguhkan aktiviti rekreasi buat sementara waktu berikutan cuaca yang tidak menentu. Mereka memberi amaran tentang risiko keselamatan seperti tanah runtuh dan kejadian kepala air di kawasan air terjun akibat perubahan monsun.
Sumber : The Rakyat Post