| |

Servis Siapkan ‘Assignment’ Makin Popular, Masa Depan Pelajar Universiti Malaysia Makin Suram?

Kecoh di media sosial mengenai servis ‘buat assignment’ untuk pelajar universiti dengan harga murah dan dijamin berkualiti. Servis yang semakin tular ini menimbulkan tanda tanya besar: Adakah pelajar-pelajar kita semakin malas atau terlalu bergantung kepada jalan pintas? Lebih mengejutkan, perkhidmatan ini semakin diterima dengan tangan terbuka oleh ramai pelajar yang kononnya ‘terdesak’ untuk menyiapkan tugasan.

Bantu Atau Binasakan Masa Depan Pelajar?

Sejak iklan ini tersebar di platform Instagram Story, ramai yang mula mempersoalkan etika dan kesan jangka panjang servis seperti ini. Apa gunanya masuk universiti kalau kerja sendiri pun perlu ‘upah orang’? Rata-rata netizen berpendapat bahawa fenomena ini hanya akan merosakkan kualiti graduan negara. Malah, ada yang mempersoalkan integriti pensyarah dalam mengenal pasti tugasan yang dibuat oleh pihak luar.

“Agaknya macam mana pensyarah nak tahu tugasan ni betul-betul dibuat oleh pelajar, bukan oleh team ‘bisnes’ yang buatkan?” soal seorang pengguna X.

Pelajar Malas, Bisnes Jalan Pintas ‘Meletup’

Tidak dinafikan, di sebalik segala kritikan, bisnes ini semakin berkembang kerana adanya permintaan yang tinggi dari pelajar sendiri. Realitinya, ramai pelajar yang lebih memilih jalan pintas untuk mendapatkan markah tinggi tanpa bersusah payah. Situasi ini menimbulkan kebimbangan, kerana jika ia berterusan, mampukah kita menghasilkan graduan yang benar-benar berdaya saing di dunia pekerjaan?

“Ini bukan lagi soal masa depan individu, tapi masa depan negara. Kalau pelajar sekarang pun dah malas macam ni, apa yang kita boleh harapkan dalam 10-20 tahun akan datang?” luah seorang netizen kecewa.

Adakah Masa Depan Pendidikan Malaysia Dalam Bahaya?

Isu ini jelas menimbulkan persoalan besar: Adakah sistem pendidikan kita sedang menuju kehancuran? Atau adakah servis ini hanya fenomena sementara yang mencerminkan ketidakupayaan pelajar mengurus masa dengan baik? Apa yang pasti, masa depan pendidikan negara kini semakin dipersoalkan, dan tindakan perlu diambil segera sebelum lebih ramai pelajar universiti memilih ‘jalan pintas’ daripada berusaha sendiri.

Sumber : The Rakyat Post

Similar Posts