| |

“PMX ‘Congratulate’Amer Harris Jefry, Juara Pusingan Keempat Hyundai N Cup 2024 Di Zhuhai”

KUALA LUMPUR: Kejayaan pelumba negara, Amer Harris Jefry muncul juara pada perlumbaan pusingan keempat Hyundai N Cup 2024 di Zhuhai, China, semalam, mendapat ucapan tahniah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amer, 25, menjuarai perlumbaan anjuran divisyen prestasi Hyundai itu pada pusingan yang berlangsung sempena perlumbaan lasak Shanghai 8 Hours di Litar Antarabangsa Zhuhai, China.

“Tahniah pelumba muda negara, saudara Amer Harris Jefry yang menjulang kejuaraan di Hyundai N Cup di Zhuhai, China, semalam,” tulis Anwar dalam laman sosial Facebook rasminya.

“Kecemerlangan anak muda ini yang mendapat dukungan kukuh keluarganya perlu membakar semangat atlet-atlet negara, khususnya yang sedang meningkat naik untuk terus berusaha keras hingga mencapai kejayaan dan mengharum nama negara.”

Hyundai N Cup adalah kejohanan perlumbaan eksklusif yang dianjurkan oleh Hyundai melalui divisyen prestasinya, ‘N’. Siri perlumbaan ini direka untuk menguji keupayaan pemandu dan kenderaan dalam pelbagai keadaan lasak, dengan tumpuan kepada prestasi tinggi, kelajuan dan ketahanan. Hyundai N Cup juga menjadi platform penting untuk pemandu muda berbakat seperti Amer, yang ingin mencipta nama di arena antarabangsa.

Amer memulakan langkah ke alam profesional sejak usia 11 tahun pada tahun 2014 menerusi penyertaan dalam perlumbaan go-kart di peringkat Asia seperti Rotax Asia Max, X30 SEA, RokCup dan AKOC. Antara kejayaan yang diraih termasuk muncul juara keseluruhan kejuaraan tersebut pada tahun 2016.

Selain kejuaraan Hyundai N Cup, Amer turut beraksi dalam beberapa lagi kejuaraan, antaranya Thailand Super Series Supercar GT4 pada tahun ini.

Dengan kejayaan ini, Amer Harris Jefry yang berasal dari Petaling Jaya, terus membuktikan bahawa pelumba muda negara mempunyai potensi besar untuk bersinar di persada dunia.

Sumber : Berita Harian

Similar Posts