‘Saya Ditipu oleh Petrosaudi dan Jho Low’ – Najib Razak Mohon Maaf, Tegas Tidak Bersubahat Dalam Penyelewengan Dana 1MDB
Sumber : The Rakyat Post
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung kes penyelewengan dana 1MDB. Dalam satu hantaran di Facebook, Najib mengakui rasa kecewa bila tahu isu tersebut berlaku semasa beliau masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Namun begitu, Najib tetap menegaskan yang dia tidak pernah bersubahat dengan Jho Low, individu yang sering dikaitkan sebagai dalang utama di sebalik skandal 1MDB.
Najib Dedah Dirinya Ditipu, Bukan Dalang Utama!
Menurut Najib, sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland serta artikel terkini daripada The Edge membuktikan bahawa dia sebenarnya diperdaya oleh Jho Low dan PetroSaudi.
“Saya tak tahu langsung yang PetroSaudi telah pindahkan dana 1MDB, dan saya memang tak sedar dana yang saya terima adalah dari situ,” kata Najib dalam hantaran tersebut.
Najib Yakin Dana Adalah Sumbangan Politik
Najib juga menjelaskan yang dia pada masa itu percaya dana yang diterima adalah sumbangan politik dari Kerajaan Arab Saudi. Dia menjelaskan terdapat dua sumbangan besar yang disahkan dari Arab Saudi pada tahun 2010, yang tidak pernah menjadi subjek dalam prosiding undang-undang.
Najib Akui Menyesal, Sepatutnya Bertindak Lebih Bijak
Najib mengakui bahawa mungkin dia patut ambil tindakan yang lebih bijak masa isu 1MDB mula dipersoalkan ramai. Tapi dia mengaku lebih cenderung untuk percaya penjelasan daripada lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.
“Masa saya mula curiga, saya fokus untuk pulihkan keadaan kewangan 1MDB dan elak kerosakan hubungan diplomatik,” kata Najib.
Masih Yakin Dia Tak Bersalah!
Najib sekali lagi menegaskan bahawa dia tidak bersubahat dan tidak patut dihukum dari segi undang-undang. Dia berharap agar keadilan akan memihak kepadanya dan membuktikan yang dia tidak bersalah.
Buat masa sekarang, Najib sedang berdepan dengan beberapa pertuduhan di Mahkamah Tinggi berkaitan dana 1MDB. Keputusan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan dijangka akan diumumkan tak lama lagi.
Apa pendapat korang? Adakah Najib sebenarnya tak bersalah atau ini semua hanya drama politik semata-mata?