Korperal Dituduh Curi Enjin RX-Z Milik Wanita, Mengaku Tidak Bersalah
Sumber : The Vocket
Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencuri enjin motosikal Yamaha RX-Z di perkarangan IPD Kemaman pada Julai lalu.
Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd di Mahkamah Sesyen Kemaman.
Menurut laporan Free Malaysia Today, tertuduh didakwa mencuri enjin motosikal milik seorang wanita yang diletakkan di tepi bangunan pejabat pegawai penyiasat trafik IPD Kemaman, sekitar jam 12.45 tengah malam hingga 1.15 pagi pada 20 Julai.
Kes ini dibicarakan di bawah Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda jika tertuduh disabitkan kesalahan.
Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaan Polis Muhammad Afif Mohd Amir, manakala tertuduh, Faris Zahim, diwakili peguam Masliela Ismail.
Masliela merayu agar jaminan dikurangkan, memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan berpendapatan rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM800 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 27 November untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kemaman.