Lesen Memandu dan IC Tempatan Ditemui: Adakah Lelaki Dari Perlis Ini Seorang Askar Upahan di Ukraine?
Sumber : The Vocket
Awal tahun ini, media Pro-Ukraine menuduh kerajaan Rusia telah mengambil beberapa rakyat Malaysia sebagai tentera upahan asing dalam konflik yang berlaku di negara mereka. Isu ini kembali hangat di internet apabila tular dua gambar yang menunjukkan dokumen rasmi Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang antara Ukraine dan Rusia.
Dokumen yang ditemui termasuk kad pengenalan MyKad dan lesen memandu sah dari Malaysia. Dikatakan bahawa kedua-dua dokumen ini dijumpai selepas tentera Rusia berjaya menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia.
Berdasarkan gambar yang tular, lesen memandu itu milik individu yang beralamat di negeri utara Semenanjung Malaysia dan sah sehingga Februari 2025. Menurut laman AirTimes, gambar-gambar dokumen ini telah tular di beberapa saluran Telegram yang dikendalikan oleh pemerhati perang pro-Rusia, dan juga turut ditemui di platform X yang dikongsi secara meluas oleh pengguna.
Selain dokumen rakyat Malaysia, terdapat juga pasport dan dokumen identiti beberapa individu dari negara lain seperti Turkiye dan Croatia. Tambahnya, satu akaun di platform media sosial VK yang dikendalikan oleh individu yang mendakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Wagner menyatakan bahawa dokumen tersebut diperoleh oleh pihak 336th Guards Naval Infantry Brigade (336th Marine Brigade).
“Baru-baru ini, anggota penyerang dari 336th Marine Brigade telah menyerbu beberapa kubu kuat musuh termasuk di Livadny,” kata pengendali akaun tersebut, sambil menambah bahawa tentera Rusia telah berjaya menumpaskan elemen tentera Ukraine serta pejuang asing di kawasan itu.
Setakat ini, status individu tempatan yang tular tersebut masih belum dapat dipastikan, sama ada masih hidup atau sebaliknya.