· ·

100,000 Pelarian Rohingya Dijangka ‘On The Way’ Masuk Malaysia Disember Ini

Malaysia berkemungkinan bakal menghadapi gelombang besar pelarian Rohingya tidak lama lagi, dengan laporan dari Utusan Malaysia menyatakan lebih 100,000 etnik Rohingya dijangka meninggalkan Rakhine dan menuju ke Malaysia.

Krisis ini semakin genting selepas tentera Myanmar meningkatkan operasi ketenteraan di kawasan tersebut.

Pada masa yang sama, Tentera Arakan (AA), yang dahulunya menyokong etnik Rohingya, kini dilihat berpaling tadah dan menjadi ancaman besar.

Presiden Organisasi Rohingya Burma UK (BROUK), Tun Khin, menyatakan bahawa dengan Malaysia mengetuai ASEAN tahun depan, negara ini perlu bersikap tegas menekan tentera Myanmar dan Tentera Arakan agar menghentikan kekejaman ini.

Khin mendakwa bahawa Tentera Arakan, yang kononnya ingin melakukan revolusi, kini menindas etnik Rohingya sehingga memaksa mereka melarikan diri.

Situasi ini bukan sahaja membahayakan keselamatan Rohingya tetapi juga membuka peluang kepada sindiket penyeludupan manusia.

Difahamkan bahawa pelarian Rohingya sering menuju ke Indonesia terlebih dahulu sebagai ‘pelabuhan pertama’ kerana akses ke negara itu lebih mudah.

Menurut Tun Khin, dari Indonesia, kebanyakan etnik ini akan cuba menyusup ke Malaysia dan Thailand melalui laluan tikus yang digunakan oleh sindiket penyeludupan.

Jika isu ini tidak ditangani, Malaysia akan terus dibanjiri pelarian, mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat serta menjejaskan hubungan diplomasi Malaysia-Myanmar.

“Jika terus berdiam diri, Malaysia akan terus dibanjiri pelarian Rohingya dan perkara ini akan mencetuskan ketidakpuasan dalam kalangan rakyat di negara ini, selain menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia-Myanmar,” tambahnya.

Kekejaman ini turut mendapat perhatian Nay San Lwin, pengasas bersama Gabungan Rohingya Bebas (FRE), yang menegaskan bahawa Tentera Arakan kini semakin agresif, termasuk dalam pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan kanak-kanak, wanita, dan warga tua.

Tragedi ini bukan sahaja dilakukan oleh pihak Myanmar, malah Tentera Arakan yang sepatutnya bertindak sebagai pelindung turut terlibat sama.

“Bukan sahaja Myanmar yang perlu bertanggungjawab atas nasib etnik Rohingya, Tentera Arakan juga terlibat dalam jenayah kemanusiaan di Rakhine.

“Saya yakin, Malaysia menerusi kerjasama dengan aktivis tempatan mampu membantu komuniti Rohingya dan memberi tekanan kepada pihak-pihak yang terlibat,” ujarnya.

Sumber : The Vocket