Pengadil EPL Digantung Selepas Hina Liverpool dan Jurgen Klopp
Sumber : The Rakyat Post
David Coote, salah seorang pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), digantung sementara selepas tularnya sebuah video yang menunjukkan beliau menghina Liverpool dan bekas pengurus pasukan itu, Jurgen Klopp. Insiden ini mencetuskan kontroversi apabila Coote dikatakan menggelar Klopp dengan kata-kata kasar.
Coote, yang bertugas dalam kemenangan 2-0 Liverpool menentang Aston Villa baru-baru ini, dirakam dalam video tersebut memanggil Klopp sebagai ‘anak haram Jerman’ dan menyifatkannya sebagai seorang pengurus yang ‘sombong’.
Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), badan yang mengendalikan pengadil EPL, mengeluarkan kenyataan bahawa Coote telah digantung sementara waktu. “David Coote telah digantung berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu siasatan penuh. PGMOL tidak akan membuat ulasan lanjut sehingga proses itu selesai,” kata kenyataan tersebut.
Siasatan yang dijalankan oleh PGMOL masih berada di peringkat awal, dengan kemungkinan video tersebut mungkin dipalsukan, atau Coote berada dalam keadaan mabuk atau separa sedar ketika insiden itu berlaku.
Dalam video tersebut, Coote mengimbas kembali salah satu perlawanan yang melibatkan Liverpool. Ia merujuk kepada perlawanan kontroversi antara Liverpool dan Burnley pada 2020, di mana perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1. Dalam perlawanan itu, Liverpool gagal mencatatkan kemenangan di laman sendiri untuk kali pertama musim tersebut, dan Andy Robertson kelihatan marah serta menghamburkan kata-kata kasar terhadap Coote selepas pasukannya tidak diberikan penalti.
Coote telah menjadi pengadil EPL sejak 2018, dan sepanjang kariernya, beliau sering bertembung dengan Klopp, yang meninggalkan Anfield pada penghujung musim lalu. Pada Disember tahun lalu, dalam pertemuan Arsenal dan Liverpool, Klopp turut meluahkan kemarahan terhadap Coote dan pegawai perlawanan selepas pasukannya dinafikan penalti meskipun bola terkena Martin Ødegaard dalam kotak penalti lawan.
Source :