· ·

Shuib dan Pengarah Bubblebee Didakwa Gagal Bayar Cukai RM1.6 Juta

Sumber : Astro Awani

SHAH ALAM: Pengarah syarikat Bubblebee Sdn Bhd, Shuib, atau nama sebenar Shahmira Muhamad, 40, bersama pengarah syarikat itu, Koh Choon Guan, 33, didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis atas 18 pertuduhan berkaitan gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali. Pertuduhan tersebut merangkumi kegagalan membayar cukai sepanjang tempoh tahun lalu, iaitu dari 1 Januari hingga 1 November 2023, yang ditetapkan di bawah Seksyen 26(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Tindakan mereka didakwa dilakukan di Bahagian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS), antara 1 April 2023 hingga 1 Februari 2024.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda RM50,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, mereka juga perlu membayar penalti RM453,969.42 di bawah Seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, Wan Abdul Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri. Sementara itu, peguam Muhammad Firdaus Shaik Alauddin mewakili kedua-dua tertuduh. Dalam prosiding, pegawai pendakwa mencadangkan ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan, namun peguam mempertahankan bahawa anak guamnya telah memberi kerjasama sepanjang siasatan.Hakim Rasyihah membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Disember nanti.