· ·

Sophia Albarakbah Minta Pendatang Baharu Jangan Cepat Melatah, Katanya Pelakon Senior Hanya Mengusik

Sumber : Oh Bulan

Kebelakangan ini, dunia hiburan tempatan kecoh dengan dakwaan pelakon junior dibuli oleh pelakon senior di set penggambaran.

Layanan Bergantung Pada Sikap

Mengulas isu ini, pelakon Sophia Albarakbah, 31, berpendapat masalah ini mungkin timbul kerana pendatang baharu tidak bijak membawa diri.

Menurut Sophia, jika pelakon junior tahu melayan pelakon senior dengan baik, mereka pasti akan mendapat layanan yang sama.

“Sebagai pelakon junior, kita kena mulakan dulu. Pengalaman saya dulu pun, memang ada rasa takut nak masuk set — risau bagaimana sikap pelakon senior. Tapi bila saya cuba bertegur dan mendekati mereka, rupanya mereka sangat mudah mesra dan langsung tak sombong.

Kita sebagai orang muda, kena tunjukkan rasa hormat terlebih dahulu jika mahu dilayan dengan baik.”

Sophia berkongsi perkara ini dalam satu majlis tayangan episod akhir From Saga With Love 2 di ibu negara baru-baru ini.

Tidak Pernah Dibuli

Sophia turut meluahkan rasa syukur kerana tidak pernah mengalami kejadian buli sejak mula berkecimpung dalam industri.

“Setakat ini, tiada kes buli daripada pelakon senior. Kebanyakan mereka sangat murah hati berkongsi ilmu dan pengalaman.”

Sophia juga menafikan dakwaan terbaru yang mendakwa sesetengah pelakon senior terlibat dengan buli. Sebaliknya, beliau menganggap ada yang hanya sekadar bergurau atau mengusik.

“Saya tak rasa mereka berniat membuli. Kalau ada pun, mungkin gurauan. Janganlah cepat terasa.”

Tambah Sophia, dia sendiri banyak belajar daripada pelakon senior seperti Datuk Fauziah Nawi, Vanidah Imran, Tony Eusoff, Datuk Seri Eizlan Yusof, dan lain-lain.

“Banyak manfaat yang kita boleh dapat daripada mereka. Jadi, kita kena hormatkan mereka, barulah isu-isu seperti buli ini tak akan berlaku.”