Heliza Helmi Nafi Rumah Tangga Bergolak – ‘Dari Mana Datangnya Cerita Ini?’
Sumber : Oh Bulan
Penyanyi, pelakon dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi menyangkal khabar angin bahawa rumah tangganya bersama suami, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, menghadapi masalah.
Heliza Terkejut dengan Dakwaan
Menurut Heliza, dia sendiri terkejut apabila mendengar dakwaan tidak berasas tersebut.
“Saya memang terkejut dengan dakwaan ini, tak masuk akal langsung! Saya nak tanya, dari mana asalnya cerita ini? Siapa yang mula sebarkan? Kalau saya nak jawab, saya pun tak tahu nak cakap apa tanpa tahu puncanya,” katanya.
Malah, kehadiran suami yang menemaninya ke sebuah majlis baru-baru ini turut disalah anggap oleh sesetengah pihak.
“Kehadiran suami bukan untuk ‘tutup’ sebarang spekulasi. Cerita rumah tangga kami bergolak ini tak perlu ditutup sebab pada saya, ia tak wujud pun,” tambah Heliza.
Dia turut meminta orang ramai untuk mendoakan hubungan mereka kekal bahagia hingga ke syurga.
Kurang ‘Upload’ Gambar Sebab Sibuk
Apabila ditanya mengenai dirinya yang jarang berkongsi gambar bersama suami di media sosial, Heliza menjelaskan bahawa kesibukan kerja menjadi sebab utama.
“Dalam telefon saya, banyak saja gambar kami berdua, tapi saya tak sempat nak muat naik sebab sibuk dengan tugasan. Nak ‘upload’ pun bukan sebab orang suruh atau nak tunjuk apa-apa, cuma bila rasa ada masa.
“Saya selalu ingat pesan ustaz, diam itu lebih baik di akhir zaman ini,” jelasnya.
Heliza juga percaya bahawa orang ramai sentiasa mendoakan yang baik-baik untuknya dan suami.
“Saya rasa isu ini sebenarnya tak wujud pun. Saya sangat menghargai doa anda semua untuk kebaikan rumah tangga kami,” katanya mengakhiri temu bual.
Untuk rekod, Heliza dan Mahadi mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2022.