Gagal Bayar Kontraktor RM1 Juta, Barang Rumah Datuk Seri Vida (DSV) Termasuk Empat Kereta Mewah Kena Sita
Sumber : Oh Bulan
Rumah usahawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) disita hari ini setelah beliau gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilangnya.
Kereta mewah disita
Memetik laporan Kosmo, selain rumah, empat buah kereta mewah dan barangan milik usahawan terkenal itu turut disita.
Empat kereta yang disita ialah dua buah Toyota Vellfire, satu Toyota Grand Hiace, dan sebuah BMW X7, termasuk semua barangan di dalam rumahnya.
Perintah penyitaan ini dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah, selepas permohonan dibuat oleh Mohammad Taufik Kamarul daripada Ah Design Communication Sdn Bhd.
Proses writ penyitaan dan penjualan dijalankan sekitar jam 9 pagi di kediaman DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman.
Difahamkan, DSV gagal menjelaskan baki bayaran tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan sebanyak RM1,060,285 sejak tahun 2018.
Sitaan barangan rumah
Menurut peguam syarikat tersebut, Samir Zainal, proses sitaan dilakukan selepas mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Barang yang disita melibatkan semua barangan di dalam rumah, kecuali bilik tidur DSV sebab pintu berkunci, dan kenderaan seperti dua Toyota Vellfire, satu Toyota Grand Hiace, serta BMW X7. Barang-barang ini tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh dua minggu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pihaknya sedia melepaskan sitaan sekiranya DSV menjelaskan tunggakan dalam masa terdekat.
“Jika tunggakan dilunaskan, kami akan tarik balik sitaan. Setakat ini saya belum bercakap dengan beliau kerana difahamkan beliau berada di China.”
Tuntutan sejak tahun 2018
Sementara itu, wakil Ah Design Communication Sdn Bhd, Mohamad Taufik Kamarul, menjelaskan tuntutan tersebut adalah untuk bayaran ubah suai bangunan kilang milik DSV di Kota Kemuning, Shah Alam, kepada studio.
“Kami terpaksa mengambil tindakan sita kerana sudah banyak kali cuba berbincang. Peguam kami pernah cuba menyelesaikan isu ini, tetapi tiada maklum balas. Jadi, ini sahaja langkah yang boleh diambil.”
Tambahnya, jumlah tunggakan melibatkan prinsip sebanyak RM800,000, dan termasuk faedah, ia meningkat kepada lebih RM1.06 juta.
“Saya harap isu ini dapat diselesaikan secara baik. Kami tiada niat untuk menyita barang beliau. Kalau tunggakan dijelaskan sebelum tamat tempoh penyitaan, kami sedia menarik balik tindakan ini. Tapi enam tahun menunggu agak lama,” katanya.