· ·

Pendakwah Gus Miftah Terpalit Kontroversi: Gurauan Kasar Kepada Peniaga Air Teh Undang Kecaman


Sumber :The Rakyat Post


Tindakan pendakwah terkenal Indonesia, Gus Miftah, melontarkan gurauan kasar kepada seorang peniaga air teh jalanan ketika berada di atas pentas baru-baru ini, telah mencetuskan kemarahan ramai. Video kejadian itu, yang kini tular di media sosial, memaparkan pendakwah dari Yogyakarta itu bertanya kepada peniaga tersebut mengenai jualannya sebelum membuat komen yang dianggap menghina.

“Air teh kamu masih banyak tak? Masih? Ya, pergi jual di sana g*blok,” kata Gus Miftah, diiringi gelak ketawa mereka di atas pentas.

Reaksi wajah peniaga tersebut, yang kelihatan malu dan hanya mampu tersenyum pahit, membuat ramai netizen bersimpati. Mereka mengecam tindakan Gus Miftah dan mempersoalkan kepekaannya sebagai tokoh agama.

Menyedari kontroversi ini, Gus Miftah telah membuat permohonan maaf secara terbuka pada 3 Disember lalu. Beliau mengakui kesilapannya dan menyatakan bahawa gurauan tersebut tidak bertujuan menghina.

“Saya sering bergurau dengan sesiapa sahaja. Namun, atas gurauan saya ini, saya akan meminta maaf secara langsung kepada individu berkenaan dan masyarakat yang terganggu dengan tindakan saya,” jelasnya.

Gus Miftah turut menambah bahawa insiden ini menjadi pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam tutur katanya, terutamanya di hadapan khalayak ramai.