Zara Zya Tegas: “Tak Pernah Kahwin, Jangan Sebar Fitnah!”
Sumber :Oh Bulan
Pelakon popular, Zara Zya, tampil menyangkal tuduhan bahawa dirinya telah bernikah di Thailand. Tuduhan tersebut yang tersebar luas di media sosial ternyata mengganggu ketenangan hidupnya.
Menerusi perkongsian di Threads, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin dengan tegas menafikan dakwaan itu sambil melabelkannya sebagai fitnah.
“Astaghfirullahalazim, berat tuduhan ini. Fitnah! Saya belum berkahwin dan tak pernah pun berkahwin,” tulis Zara.
Tambah pelakon drama hit Risik Pada Hati itu, khabar angin tersebut telah mengganggu fikirannya sehingga menyebabkan dia tidak dapat tidur dengan tenang.
“Haihh, tak lena tidur saya dibuatnya memikirkan tentang ‘rumors’ yang menyatakan saya telah berkahwin di Thailand,” luah Zara.
Sebagai info, Zara sebelum ini pernah bertunang dengan pelakon Hafreez Adam pada 12 Oktober 2019. Namun, pertunangan tersebut hanya bertahan selama sebulan sebelum mereka membawa haluan masing-masing.