“Nikah Macam Beli iPhone? Pakej ‘Nikah Dulu Bayar Kemudian’ di Thailand Jadi Bualan!”
Sumber :The Vocket
Jika sebelum ini kita hanya dengar konsep “beli sekarang, bayar kemudian” di platform e-dagang, kini trend tersebut telah melangkah ke tahap baru – pakej kahwin ekspres di Thailand! Tawaran unik ini mendapat perhatian ramai setelah tular di TikTok baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut, pasangan dari Malaysia yang mahu bernikah di negara jiran ini hanya perlu membayar serendah RM1,699. Namun, yang lebih mencuri perhatian adalah pilihan “nikah dulu, bayar kemudian”, menjadikan proses ini lebih mudah dan cepat.
Menariknya, ruangan komen video itu penuh dengan gurauan netizen. Ada yang membandingkan pakej ini dengan cara membeli iPhone secara ansuran menggunakan platform seperti Atome atau SPayLater.
“Siot lah, kahwin dah macam beli iPhone… nikah dulu bayar kemudian,” tulis seorang netizen berseloroh.
“Nikah pun boleh bayar paylater sekarang,” tambah seorang lagi, sambil disusuli dengan komen lucu seperti, “Risau laki aku dekat sini.”
Namun, ada juga yang risau tentang kesahihan pernikahan ini. Pihak penyedia pakej telah menjelaskan bahawa pernikahan tersebut diiktiraf secara sah, sekaligus menepis keraguan tentang risiko terjebak dengan tawaran palsu.
Konsep “nikah ekspres” ini mengingatkan kepada iklan rumah di Kluang yang pernah dijual di Shopee dengan harga RM250,000. Menariknya, pembeli rumah juga dibenarkan menggunakan SPayLater, menjadikan pembelian rumah turut “bayar kemudian”. Kini, nampaknya konsep ini mula merangkumi urusan perkahwinan!