Hujan Berterusan di 7 Negeri, Amaran Cuaca Buruk Hingga Minggu Depan – Penduduk Dinasihat Berhati-hati!
Sumber : Siakap keli
Amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa tujuh negeri bakal dilanda cuaca buruk sehingga minggu depan. Hujan lebat diramal berlaku di Perlis, Kelantan, Terengganu, dan beberapa kawasan di Kedah bermula 8 hingga 11 Disember.
Kawasan yang terlibat di Kedah termasuk Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, dan Baling, manakala di Perak, hanya Hulu Perak yang dijangka mengalami cuaca buruk tersebut.
Bagi negeri Pahang, cuaca buruk diramal melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, bermula 9 hingga 11 Disember. Sementara itu, dua daerah di Johor iaitu Mersing dan Kota Tinggi turut berada dalam senarai amaran tersebut.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat, angin kencang, dan ribut petir yang melibatkan 10 negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan. Selain itu, Sabah dan Sarawak juga dijangka mengalami hujan lebat.
Bagi memastikan kesediaan rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memperkenalkan pelan kontingensi untuk memastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi di pasaran. Ini sebagai langkah persediaan untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut yang sedang melanda.