Pasangan Pelancong Asing Tumpang Kereta Di Malaysia, Netizen Bagi Pelbagai Reaksi – ‘Jangan Ambil Kesempatan!’
Sumber : The Rakyat Post
Kehadiran pelancong asing seringkali mencuri tumpuan di Malaysia, terutama dengan budaya berbeza yang mereka bawa. Namun, baru-baru ini tular sebuah video pasangan pengembara dari Scotland yang mendapat perhatian ramai apabila mereka meminta untuk ditumpangkan ke Taman Negara.
Menerusi perkongsian di TikTok, pasangan Silke dan Kieran dilihat berdiri di tepi lebuh raya dengan papan tanda besar bertulis “Taman Negara”. Mereka mencari pemandu yang sudi menumpangkan mereka ke destinasi ekopelancongan terkenal itu. Setelah menunggu seketika, seorang pemandu lori akhirnya menawarkan diri untuk menghantar mereka.
Menurut pasangan tersebut, tujuan mereka bukan untuk menjimatkan kos, sebaliknya untuk mengenali rakyat tempatan dengan lebih dekat. Mereka menjelaskan bahawa dalam banyak kes, mereka juga menawarkan wang tunai sebagai tanda terima kasih, namun sering ditolak oleh pemandu yang mereka tumpangi.
Namun, perkongsian ini mengundang pelbagai reaksi netizen. Ada yang menyatakan bahawa pasangan itu sekadar ingin menjimatkan kos perjalanan panjang mereka. “Backpacker memang macam ni. Dia nak jimat, sebab nak jalan waktu yang lama untuk teroka dunia luar,” kata seorang pengguna TikTok.
Namun, banyak juga yang kurang senang dengan tindakan pasangan ini. Seorang pengguna berkata, “Aku tak boleh terima betul. Orang kita kalau tahan nak tumpang macam-macam orang fikir. Tak ada duit tak payah mengembara. Ia akan jadi tabiat nanti.” Sebahagian lagi memberikan nasihat agar tidak menormalisasikan tindakan tersebut di Malaysia, yang tidak biasa dengan amalan menumpang kenderaan seperti itu.