Kad BoBoiboy Edisi Khas Dijual RM1,700, Siap Boleh Bayar Ansuran!
Sumber : The Vocket
Siapa sangka hobi mengumpul kad BoBoiBoy kini menjadi semakin popular di Malaysia? Hobi yang pada mulanya mungkin kelihatan seperti sekadar permainan kanak-kanak, kini telah berkembang menjadi satu trend yang menarik perhatian ramai. Terutamanya apabila kad edisi khas dengan ilustrasi menarik dan efek 3D menjadi tumpuan para pengumpul.
Baru-baru ini, satu penemuan mengejutkan berlaku apabila seorang netizen menemui penyenaraian kad BoBoiBoy edisi terhad yang dijual pada harga tidak masuk akal — RM1,700. Bukan itu sahaja, penjual juga menawarkan ansuran bulanan selama 18 bulan berharga RM94.88.
Kad yang berwarna emas dan memaparkan ilustrasi karakter Maskmara dengan efek 3D ini memang kelihatan unik dan eksklusif. Bukan sekadar harga, ia juga mencetuskan perbincangan hangat di kalangan pengumpul kad BoBoiBoy. Ramai yang berpendapat harga tersebut terlalu tinggi, meskipun kad tersebut sangat jarang dan berada dalam kategori “rare” atau edisi terhad.
Di platform Shopee, penjual masih menjual dua kad tersebut pada harga yang sama, yang mengundang pelbagai reaksi daripada penggemar kad BoBoiBoy. Beberapa pengumpul berpengalaman (atau lebih dikenali sebagai “otai”) turut memberikan pendapat bahawa harga tersebut agak berpatutan memandangkan hanya 100 keping kad SR Maskmara yang dihasilkan dari 4,800 keping kad Tournament yang dikeluarkan semasa acara kejuaraan di Sunway baru-baru ini.Peminat yang lain pula berpendapat bahawa kad ini semakin bernilai tinggi kerana ia menjadi salah satu kad strategi terpenting dalam permainan tersebut. Tak hairanlah jika harga kad tersebut melambung tinggi dan dijual dengan harga yang jauh lebih mahal di platform seperti Carousell — sekitar RM750 hingga RM850!