“Uncle Grab Terkejut! Lelaki Melayu Fasih Borak Mandarin, Siap Gurau Pasal Nombor Ekor”
Sumber : The Rakyat Post
Kisah seorang lelaki Melayu bersama rakannya bertutur dalam bahasa Mandarin ketika menaiki Grab tular di TikTok. Situasi ini bukan sahaja menarik perhatian netizen, tetapi turut mendapat pujian daripada pemandu e-hailing tersebut.
Pemuda Melayu Borak Mandarin Dengan Fasih
Seorang pengguna TikTok, Afeef Hamizan (@afeefnotfound), berkongsi detik menarik ketika beliau dan rakannya berbual mesra dalam bahasa Mandarin bersama seorang pemandu Grab. Apa yang mencuri perhatian ialah kefasihan mereka bertutur dalam bahasa tersebut, sehingga mengundang pujian daripada si pemandu.
Menurut pemandu berkenaan, kebolehan berbahasa Mandarin adalah satu kelebihan dan beliau menggalakkan mereka untuk terus mempraktikkannya agar tidak lupa.
“Memang betul uncle tu cakap. Kalau dah boleh cakap Mandarin dan tak berlatih lama-lama boleh lupa. Kena ada kawan juga untuk berlatih sama-sama,” kongsi salah seorang netizen di ruangan komen.
Topik Random & Gurauan Tentang Nombor Ekor
Dalam video tersebut, lelaki-lelaki itu dilihat berbual santai menggunakan bahasa Mandarin, termasuk berbincang tentang topik rawak. Menariknya, pemandu Grab itu bergurau dengan meminta mereka memilih nombor dari 1 hingga 10 dan memberitahu ia akan digunakan untuk membeli nombor ekor.
“Pernah menang dulu dapat RM40,000,” seloroh si pemandu sambil disambut dengan gelak ketawa pemuda berkenaan.
Menurut Afeef, mereka belajar bahasa Mandarin daripada rakan berbangsa Cina dan juga menerusi perkongsian di TikTok.
Netizen Teruja & Terinspirasi
Klip video itu telah mencetuskan keterujaan dalam kalangan netizen, yang rata-rata kagum melihat pemuda-pemuda tersebut bertutur Mandarin dengan begitu fasih. Ada juga yang meluahkan hasrat untuk mempelajari bahasa tersebut, khususnya untuk kegunaan harian dan komunikasi di tempat kerja.
“Seronok kan bila boleh cakap Mandarin. Paling best bila diorang bercakap pasal kita. Sekali kita balas, semua diam,” gurau seorang pengguna TikTok.
Ada juga yang menekankan pentingnya mempelajari bahasa tambahan kerana ia membuka lebih banyak peluang dan manfaat dalam kehidupan.