Seminggu Diamkan Diri, Influencer Hilang di Hutan Bandung Akhirnya Mohon Maaf
Sumber : Oh My Media
Selepas seminggu mendiamkan diri, pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Eyka akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka selepas terbukti bahawa insiden kehilangannya di dalam hutan Bandung, Indonesia hanyalah satu konten palsu.
Eyka, 22, bersama YouTuber Ammar Nazhan dan rakan-rakannya, sebelum ini mendakwa dirinya hilang selama tiga hari, sebelum ditemui dalam keadaan lemah di kawasan semak samun menerusi penstriman langsung di TikTok.
Bagaimanapun, selepas siasatan dilakukan, pihak Polis Indonesia mengesahkan bahawa semuanya hanyalah lakonan untuk kandungan media sosial.
Eyka Mohon Maaf, Minta Keluarganya Tidak Dihina
Dalam satu hantaran di TikTok pada Selasa, Eyka tampil memberi penjelasan dan memohon maaf kepada orang ramai.
“Saya ingin memohon maaf atas segala apa yang berlaku. Saya menerima banyak kecaman dan makian, tetapi saya berharap agar keluarga saya tidak diganggu atau dihina kerana mereka tidak bersalah.”
Eyka turut berterima kasih kepada mereka yang telah memberikan nasihat dan teguran positif terhadap kes ini.
Didedahkan Sebagai Penipuan, Ammar Nazhan Juga Mohon Maaf
Insiden ini mendapat perhatian luas selepas penyanyi rap Caprice mendakwa bahawa kejadian tersebut tidak benar selepas mendapatkan pengesahan daripada pihak agensi bakat yang bekerja dengan Ammar Nazhan dan rakan-rakannya.
Walaupun pada awalnya Ammar Nazhan menafikan dakwaan tersebut, segala spekulasi akhirnya terjawab apabila Polis Indonesia sendiri mengesahkan bahawa ia hanyalah lakonan semata-mata.
Susulan itu, Ammar dan rakan-rakannya termasuk Aras tampil memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut.
Namun, insiden ini telah mencetuskan kemarahan ramai kerana ia bukan sahaja mengganggu pihak berkuasa, tetapi juga menipu pengikut mereka di media sosial demi tontonan dan perhatian.