Lelaki British Dakwa Terkandas di Malaysia Selepas Gagal Bayar Parkir RM7, Tuduh Malaysia ‘Ambil Kesempatan’
Sumber : Express.co.uk
Seorang lelaki British mendakwa dirinya terkandas di Malaysia selepas gagal membayar tiket parkir bernilai RM7, lapor Express.co.uk. Jurutera elektrik yang berpangkalan di London, Ahmed Hadi, 47, mendakwa bahawa pasportnya telah disita oleh mahkamah selepas insiden parkir yang berlaku di Pulau Pinang pada 7 Disember lalu.
Menurut Ahmed, semuanya bermula apabila dia meletakkan kenderaannya selama 10 minit di tempat letak kereta, namun menghadapi masalah untuk membuat pembayaran. Dia mendakwa bahawa mesin parkir tidak menerima wang tunai, dan walaupun dia cuba meminta bantuan pegawai parkir, tiada penyelesaian diberikan.
Ahmed kemudian bertindak mengangkat palang parkir secara paksa untuk keluar, tetapi tidak menyangka tindakannya akan menyebabkan kerosakan. Kesilapannya itu membawa padah apabila dia ditangkap dan dibicarakan di mahkamah. Menurutnya, peguamnya telah cuba berunding dengan syarikat parkir untuk mencari penyelesaian, namun selepas lapan minggu berlalu, pasportnya masih ditahan sebagai syarat jaminan.
Pada mulanya, Ahmed dan keluarganya merancang untuk menetap di Malaysia, tetapi selepas insiden ini, dia mula mempertimbangkan semula keputusannya.
“Saya bersedia untuk membayar, tetapi mesin parkir tidak menerima wang itu dan saya tidak boleh keluar. Saya fikir semuanya sudah selesai, tetapi saya masih tidak memiliki pasport saya atau tahu bila saya akan mendapatkannya kembali,” katanya.
Ahmed turut melabelkan Malaysia sebagai ‘neraka tanpa hak asasi manusia’, mendakwa bahawa dia dipenjara dalam keadaan yang sangat teruk. Dia menggambarkan bahawa 50 tahanan terpaksa berkongsi satu tandas, malah mendakwa bahawa seorang pegawai polis mengancam untuk memukulnya.
“Kita fikir Britain bermasalah, tetapi ini membuatkan saya sedar betapa baiknya keadaan di sana. Negara ini hanya tahu mengambil kesempatan, dan anda tidak bebas,” katanya.
Menurut Ahmed, isterinya, Lucy, terpaksa membayar hampir £2,425.41 (RM13,231) termasuk bayaran penjamin dan yuran guaman bagi membebaskannya daripada tahanan. Namun, pasportnya masih belum dikembalikan, dan dia perlu hadir ke mahkamah pada 17 Februari.
Isteri Ahmed, Lucy, turut mengecam sistem kehakiman Malaysia, mendakwa suaminya ditangkap tanpa diberi penjelasan. Menurutnya, Ahmed dipindahkan ke sel penjara yang berbeza setiap hari, menyebabkan dia sukar mengetahui keberadaan suaminya ketika itu.
“Kami pernah mempertimbangkan untuk menetap di sini, tetapi sekarang ia mustahil. Ia tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Lucy juga mendakwa bahawa suaminya diperlakukan secara berbeza kerana dia berasal dari Kuwait, dengan anggapan bahawa dia adalah “orang kaya”. Dia turut menuduh Malaysia sebagai negara polis yang menangkap orang sesuka hati dan hanya mahu mengambil wang daripada rakyat asing.