Syed Saddiq Sumbang Lebih RM1 Juta Untuk Warga Muar Hasil Jadi Model Baju Raya
Sumber : Oh My Media
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, meluahkan rasa syukur selepas berjaya mengagihkan sumbangan lebih RM1 juta kepada warga Muar hasil kerjasama dengan jenama fesyen tempatan terkenal.
Menurut Saddiq, bantuan tersebut tidak diberikan dalam bentuk wang tunai tetapi melalui pakaian dan barangan keperluan harian untuk golongan yang memerlukan.
“Prima Valet telah menyumbang lebih RM1,000,000 ke Parlimen Muar, tetapi bukan dalam bentuk duit. Antara sumbangan tersebut termasuk 3,456 baju Melayu dan baju kurung untuk kanak-kanak, 1,625 untuk golongan warga emas, 500 telekung Nur Aisyah, 500 jubah Ustaz Azhar Idrus, dan 800 bakul makanan besar,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan bahawa kejayaan program ini dicapai selepas beliau gigih menjalankan beberapa projek kolaborasi bersama aktres tempatan, Bella Astillah.
Saddiq turut berkongsi kegembiraannya kerana dapat membantu warga Muar dan meringankan beban mereka.
“Macam mana saya boleh dapat semua ini? Bukan dengan bercuti, tetapi dengan jadi model, buat photoshoot, panjat Gunung Kinabalu. Saya akan buat apa sahaja untuk manfaat warga Muar.
“Saya dapat apa? Saya dapat kasih sayang dan rasa gembira yang luar biasa. Apabila saya melihat mereka yang kurang bernasib baik gembira, itu menjadikan saya orang paling bahagia,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, menegur Syed Saddiq agar tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.
Syerleena bimbang bahawa Saddiq kini lebih banyak mendapat perhatian dalam gosip hiburan berbanding kerja-kerja politiknya. Beliau juga menegaskan bahawa jika Saddiq tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya, lebih baik beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen.
Sebelum ini, Saddiq menarik perhatian ramai apabila sering dilihat bersama Bella Astillah, termasuk ketika mereka menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah baru-baru ini.