Suspek Kes Tembak Setia City Mall Ditembak Mati di Pulau Ketam
Sumber : Berita Harian
Lelaki yang terlibat dalam insiden tembakan di Setia City Mall pada 8 Februari lalu telah ditembak mati dalam satu operasi polis di Pulau Ketam, awal pagi tadi.

Serbuan Polis Berakhir dengan Tembak-Menembak
Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 30-an, ditembak dalam satu operasi melibatkan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar jam 3 pagi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa suspek yang merupakan seorang penjenayah dikehendaki maut dalam kejadian tembak-menembak dengan polis di sebuah bilik hotel ketika serbuan dijalankan.
“Ketika serbuan dilakukan, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan suspek. Polis berjaya menembak mati seorang lelaki serta menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut,” katanya.
Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai sembilan kes jenayah lampau, termasuk satu kes dadah dan tujuh kes samun. Dia juga dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di Setia City Mall.
Kronologi Insiden Tembakan Setia City Mall
Pada 8 Februari lalu, sekitar jam 10 malam, suspek telah melepaskan empat das tembakan ke arah seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah Setia City Mall, Setia Alam.
Selepas itu, dia melepaskan beberapa lagi tembakan yang terkena pintu kaca dan cermin tangga sebelum menahan sebuah kereta Perodua Ativa milik seorang pengunjung dan memaksa pemandunya membawa dia ke Pandamaran, Klang.
Suspek kemudian melarikan diri selepas meninggalkan kenderaan tersebut.
Kes Tembakan di Malaysia Semakin Meningkat?
Insiden ini berlaku kurang setahun selepas negara dikejutkan dengan kes tembakan di KLIA pada April tahun lalu. Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki, Hafizul Hawari, 38, telah ditahan berhampiran Hospital Pakar Perdana, Kelantan selepas insiden tersebut mencetuskan kebimbangan keselamatan awam.