| | | |

Malaysia Jadi ‘Tong Sampah’ Negara Maju,! Dibanjiri Sisa Elektronik Haram

Sumber :  The Vocket

Malaysia terus menjadi sasaran utama bagi pelupusan sisa elektronik (e-waste) haram dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, dan United Kingdom. Walaupun isu ini bukanlah perkara baharu, jumlah e-waste yang masuk ke negara ini semakin membimbangkan dan memberi kesan serius terhadap alam sekitar serta kesihatan rakyat.

Menurut Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM), terdapat lebih daripada 200 loji kitar semula e-waste haram yang beroperasi di Malaysia. Laporan terkini juga mendedahkan bahawa pada Oktober 2023 sahaja, lebih daripada 1,000 kontena bertan-tan sisa elektronik diimport dan diproses secara haram di negara ini. Keadaan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga menyebabkan pencemaran alam sekitar yang semakin kritikal.

Malaysia Jadi Pusat Transit & Pemprosesan Sampah Haram?

Dr. Haliza menjelaskan bahawa Malaysia bukan sekadar menjadi tempat pelupusan, tetapi juga transit bagi sisa elektronik dari negara maju. Pada tahun 2022, pihak berkuasa Malaysia telah menghantar balik 19 kontena e-waste ke negara asal seperti Amerika Syarikat, Sepanyol, Australia, Belgium, dan Jepun.

Namun, lebih membimbangkan apabila Malaysia turut dijadikan pusat pemprosesan e-waste untuk menghasilkan jongkong sebelum dieksport ke China. Aktiviti haram ini bukan sahaja merosakkan alam sekitar tetapi juga mengancam kesihatan penduduk setempat yang terdedah kepada bahan toksik daripada sisa elektronik tersebut.

Bagaimana Malaysia Boleh Menangani Krisis E-Waste Ini?

Bagi mengawal masalah ini, Dr. Haliza mencadangkan beberapa langkah utama yang perlu diambil oleh kerajaan dan masyarakat:

Penguatkuasaan ketat di pintu masuk negara – Pemeriksaan lebih ketat di pelabuhan utama dan pintu masuk lain bagi mengelakkan penyeludupan e-waste.

Memperketatkan undang-undang – Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada pihak yang terlibat dalam aktiviti e-waste haram.

Kesedaran masyarakat – Rakyat Malaysia perlu dididik mengenai bahaya e-waste dan cara pengurusan sisa elektronik yang betul.

Pematuhan Konvensyen Basel – Negara maju perlu bertanggungjawab dalam mematuhi konvensyen antarabangsa ini yang mengawal pergerakan rentas sempadan bahan buangan terjadual.

Similar Posts