| | |

5,500 Barang Tiruan Dirampas di Jalan Petaling – Sindiket Masih Aktif

Jalan Petaling sekali lagi menjadi sasaran operasi penguatkuasaan! Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama pihak berkuasa lain telah merampas 5,500 barangan tiruan bernilai RM360,000 dalam Op Putra yang dijalankan petang tadi.

Operasi bersepadu ini melibatkan KPDN Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memulakan serbuan pada jam 3.30 petang selepas melakukan risikan selama dua minggu.

Menurut Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar, pihak berkuasa telah memeriksa 20 premis termasuk lima stor yang dijadikan tempat penyimpanan barangan tiruan.

“Antara barangan yang disita termasuk jam tangan, beg, kasut, selipar, dompet, topi dan tali pinggang yang dijual pada harga antara RM50 hingga RM450 bergantung kepada jenis dan kualiti,” katanya.

Pihak berkuasa juga menyiasat pemilik bangunan yang dipercayai warga tempatan tetapi diusahakan oleh warga asing. Lebih membimbangkan, sindiket ini dipercayai masih beroperasi dalam rangkaian yang sama, menyebabkan tindakan lebih tegas perlu diambil.

Jalan Petaling Tersenarai Dalam Laporan USTR – Malaysia Dalam Risiko?

Kes ini disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Menurut Nurul Syarina, sejak 2023 hingga kini, sebanyak 107 kes berkaitan barangan tiruan direkodkan dengan sitaan bernilai RM1.8 juta di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

Jalan Petaling kini menjadi perhatian antarabangsa selepas disenaraikan sebagai lokasi penjualan barangan tiruan terkemuka oleh United States Trade Representative (USTR) sejak 2023. Pihak berkuasa kini berusaha menghapuskan aktiviti ini bagi memastikan nama Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan jenayah barangan tiruan yang boleh menjejaskan pelaburan asing.

Sumber :  Harian Metro

Similar Posts