| | | | |

“Ellie Suriaty Berang! Tuntut Ibu Bapa Imran Bard Minta Maaf – ‘Maruah Saya Dipijak’”

Pelakon berpengalaman, Ellie Suriaty naik berang selepas namanya diperlekehkan dalam video parodi yang dimuat naik oleh pempengaruh media sosial, Imran Bard. Lebih memburukkan keadaan, Ellie mendakwa video tersebut bukan sekadar gurauan biasa, tetapi satu bentuk fitnah yang mengaitkan dirinya dengan penyalahgunaan dadah.

Tidak berdiam diri, Ellie yang dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara, tampil melakukan sidang media khas bagi menuntut keadilan dan mempertahankan maruahnya.

Ellie Suriaty Tak Akan Maafkan – Tuntut Ibu Bapa Imran Bard Bertemu Dengannya

Dalam sidang media yang berlangsung di Tamu Hotel, Kuala Lumpur, Ellie dengan tegas menyatakan tidak akan membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja. Baginya, apa yang dilakukan oleh Imran melampaui batas dan mencalar maruahnya sebagai seorang wanita serta ibu.

“Apabila saya diaibkan dan dilakukan dengan sengaja, maka wajarlah saya meminta ibu bapa dia sendiri yang datang meminta maaf.”

“Bila dia tak faham adab, saya nak bercakap dengan dia sendiri untuk berbicara tentang adab. Kalau dia bijak, secepat mungkin dia akan datang kepada saya memohon maaf,” katanya tegas.

Ellie, yang juga pelakon filem Memoir Seorang Guru, turut membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Klang pada 16 Februari lalu sebagai langkah pertama untuk mendapatkan keadilan.

Ellie Suriaty Beri Amaran – Akan Ambil Tindakan Jika Tiada Permohonan Maaf

Ellie memberi masa seminggu kepada Imran Bard untuk memberikan respon. Jika tiada sebarang permohonan maaf, dia akan mengambil tindakan lanjut dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ini perbuatan jahat, tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab. Maruah saya dipijak-pijak, malah saya menjadi bahan ketawa netizen terutama apabila dia mengatakan saya ‘kacip’ dan ambil ‘batu’ (dadah) dalam video tersebut,” katanya penuh kesal.

Ellie turut menegaskan bahawa dia tidak reda dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila Imran memperoleh keuntungan daripada video tersebut. Tambahnya, bukan sahaja dia yang menerima kesan, malah anak-anaknya turut mengalami tekanan akibat fitnah yang tersebar.

Terdahulu, sekitar awal Februari, Imran Bard memuat naik dua video parodi yang mempersendakan Ellie. Video tersebut mendapat lebih 1.3 juta tontonan di TikTok. Selain Ellie, beberapa artis lain turut diparodikan, termasuk Ajai, Wan Maimunah, dan Datuk Fauziah Nawi.

Sumber :  Oh Bulan

Similar Posts