Fattah Amin Kembali Hangatkan Industri Muzik Dengan Single ‘Lelaki Terakhir’
Pelakon dan penyanyi sensasi, Fattah Amin, kembali mencetus fenomena apabila single terbarunya, ‘Lelaki Terakhir’, berjaya menduduki carta trending bagi kategori muzik hanya selepas dua hari dilancarkan.
Sentuhan Fattah Dalam ‘Lelaki Terakhir’
Lagu ini menggambarkan sisi romantis Fattah yang berjanji untuk menjaga dan melindungi cinta sejatinya. Dengan lirik yang penuh makna dan melodi yang menyentuh jiwa, ‘Lelaki Terakhir’ membawa pendengar menyelami kisah cinta yang penuh cabaran tetapi tetap utuh dengan kesetiaan dan doa.
Apa yang lebih istimewa, Fattah sendiri terlibat dalam penulisan lirik lagu ini bersama Mel Ramlan, yang juga merupakan komposer dan produser muzik terkenal di sebalik kejayaan lagu ‘Wanita Terakhir’.
“Lagu ini sangat bermakna bagi saya kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran, tetapi jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal hingga ke akhir hayat. Saya harap lagu ini dapat memberikan inspirasi kepada semua pendengar.”
Menggabungkan elemen muzik moden dengan sentuhan balada klasik, ‘Lelaki Terakhir’ sesuai dinikmati oleh semua peringkat usia. Selain itu, lagu ini juga dipilih sebagai runut bunyi untuk drama bersiri lakonannya yang bakal ditayangkan pada 28 Februari di slot eksklusif TV3.
Lagu ‘Lelaki Terakhir’ Mendominasi Carta Trending
Lirik video rasmi ‘Lelaki Terakhir’, yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi @FattahAminYT pada 21 Februari, kini trending dalam kategori muzik.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu ini. Saya tidak menyangka lagu ini akan diterima dengan begitu baik dan trending di YouTube dalam masa yang singkat. Ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna bagi saya, dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong lagu ini.”
Fattah turut mengakui bahawa perjalanan menghasilkan single ini bukanlah mudah, tetapi sokongan peminat memberikan semangat untuk terus berkarya dalam industri muzik.
‘Lelaki Terakhir’ kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan lain-lain. Video muzik rasmi juga bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Sumber : youtube