Trend ‘Baju Butterfly’ AI Jadi Ikutan, Aurat Wanita Semakin Dipermainkan
Trend media sosial memang tak pernah habis! Kali ini, trend ‘baju butterfly’ AI pula mencuri perhatian ramai. Teknologi AI yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan kini semakin disalahgunakan apabila ia mampu menukar pakaian seseorang menjadi crop top berbentuk rama-rama, sekaligus mendedahkan aurat wanita tanpa kebenaran mereka.
Apa yang mengejutkan, trend ini bukan hanya digilai oleh netizen luar negara, tetapi juga rakyat Malaysia, termasuk golongan Muslim sendiri! Ramai mula mempersoalkan, di mana hilangnya rasa malu dan maruah dalam dunia digital hari ini?
Trend AI Yang Semakin Membimbangkan!
Fenomena ini mengingatkan kita kepada trend penyuntingan AI yang mengubah gambar statik menjadi video Kung Fu yang tular sebelum ini. Tetapi kali ini, kesannya lebih serius. Ia boleh mencemarkan imej seseorang, malah membuka ruang kepada fitnah dan eksploitasi.
Dalam dunia serba digital ini, AI boleh disalahgunakan dengan mudah. Bayangkan jika ada pihak tidak bertanggungjawab menyunting gambar anda menjadi lebih keterlaluan? Hanya kerana mahu ikut trend, maruah boleh tergadai!
Wanita Perlu Berhati-Hati, Jangan Jadi Mangsa!
Menerusi satu hantaran TikTok oleh @bintujlnii, wanita dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan mengelakkan daripada memuat naik gambar diri sendiri secara sembarangan.
“Trend ‘baju butterfly’ ni nampak macam suka-suka. Tapi yang perempuan Muslim pun terhegeh-hegeh nak join sekali. Ke mana hilangnya sifat malu? Maruah letak mana?”
Tambahnya lagi, teknologi AI semakin canggih dan boleh disalahgunakan. Kalau sudah jadi bahan eksploitasi, siapa yang akan bertanggungjawab?
Pakai Baju Butterfly? Boleh, Tapi Untuk Suami Sahaja!
Seorang guru bahasa Arab, Suzana Sulaiman, turut menegaskan bahawa tidak salah seorang wanita Muslim membeli dan memakai baju butterfly, asalkan hanya untuk tatapan suami di rumah.
“Rama-rama tidak berdosa dalam soal trend baju butterfly ini. Yang berdosa ialah manusia yang memakainya pada tempat dan waktu yang salah.”
Trend seperti ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh mencemarkan batas agama dan budaya jika digunakan tanpa kawalan. Kini, ia hanya sekadar trend media sosial, tetapi siapa tahu jika suatu hari nanti, ia menjadi budaya biasa dalam masyarakat kita?
Sumber : The Rakyat Post