Zizan Razak & Emma Maembong Hanya Kawan, Tak Kisah ‘Direstui’ Netizen – “Saya Dengan Dia Bukan Musuh”
Kemesraan antara pelawak terkenal Zizan Razak dan pelakon jelita Emma Maembong ketika menjadi wajah kempen raya jenama pakaian Hijabistahub baru-baru ini telah mencuri perhatian ramai.
Hanya Sekadar Kawan, Tiada Hubungan Istimewa
Menjawab spekulasi netizen, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak menegaskan bahawa hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar kawan.
Menurutnya, dia dan Emma hanya menjalankan tugas secara profesional sebagai muka depan kempen raya tersebut.
“Saya menghormati pekerjaan saya. Apa yang terjadi antara saya dan Emma memang profesional. Kami buat semua itu untuk kerja.
Saya juga menghormati kedudukan Emma selepas bercerai dan ada teman lelaki. Saya risau juga kalau ada salah faham sebab saya dan bekas suami Emma sebelum ini memang baik. Tapi saya fikir niat untuk kerja sahaja,” katanya.
Zizan turut menjelaskan bahawa mereka sudah lama tidak bertemu secara fizikal, namun masih berhubung atas urusan kerja sebelum ini.
Perkara itu dikongsi ketika sesi sidang media majlis pembukaan ibu pejabat baharu Hijabistahub serta pelancaran kempen Raya Paling Epik di Setia Alam pada Sabtu lalu.
Selain Zizan dan Emma, Hijabistahub turut memperkenalkan dua selebriti popular dari Indonesia, Fuji dan Davina, sebagai duta utama. Malah, Datuk Seri Aliff Syukri turut diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu jenama tersebut.
Tak Kisah Kemesraan ‘Direstui’ Netizen
Mengulas tentang reaksi netizen yang kelihatan ‘merestui’ kemesraan mereka, Zizan berkata dia tidak kisah dengan perkara itu selagi ia tidak berlebihan.
“Saya tiada masalah sebab saya tahu ini zaman media sosial, bila ada yang restu, apa salahnya kami melayan.
Saya dengan dia bukan musuh, kami buat ini untuk kebaikan. Tapi jangan berlebihan,” katanya.
Terdahulu, hubungan mesra mereka dalam kempen tersebut mencetuskan perbualan ramai. Malah, ada netizen yang berharap agar mereka kembali bersama sebagai pasangan kekasih.
Sekadar info, Zizan dan Emma pernah menjalinkan hubungan cinta selama dua tahun sebelum berpisah pada tahun 2015.
Untuk rekod, Emma mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari 2020, namun mengumumkan penceraian mereka pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, Emma dan Shazli dikurniakan dua cahaya mata, Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah, 2.
Sumber : OhBulan