Imran Bard Akui Kesilapan, Mohon Maaf Betul-Betul Kepada Ellie Suriaty!
Setelah terpalit kontroversi gara-gara menyebut nama Ellie Suriaty dalam videonya, pempengaruh Imran Bard akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelakon veteran itu.
Dalam satu hantaran di Instagram Story, Imran atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin mengakui dirinya khilaf dan tidak berniat untuk menyinggung perasaan Ellie dengan kandungan yang dimuat naik di TikTok.
“Saya Bertanggungjawab Sepenuhnya”
Dalam kenyataannya, Imran menegaskan bahawa video tersebut hanyalah satu parodi spontan, seperti konten-konten lain yang sering dibuatnya sebelum ini. Dia turut menyatakan bahawa dia sebenarnya meminati lakonan Ellie dan membesar dengan menonton filem serta drama lakonan pelakon hebat itu.
“Saya, Imran Bard, ingin memohon maaf atas kekhilafan saya dalam video TikTok yang telah menyinggung perasaan Puan Ellie. Saya juga mohon maaf kerana mengambil masa sedikit lama untuk bertenang dan muhasabah diri.”
Tambahnya lagi, dia sedar bahawa menyebut nama individu lain, apatah lagi dalam konteks jenaka, boleh menimbulkan salah faham dan menyinggung perasaan.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku. Saya hargai teguran Puan Ellie dan saya anggap ini sebagai pengajaran terbesar buat saya seumur hidup.”
Ellie Suriaty Mahu Ibu Bapa Imran Juga Mohon Maaf
Terdahulu, Ellie menyatakan rasa kecewa dengan tindakan Imran yang didakwa mencalarkan reputasinya sebagai anak seni yang telah bertapak lebih tiga dekad.
Pelakon dan pengarah itu juga menuntut agar ibu bapa Imran turut tampil memohon maaf atas apa yang berlaku, memandangkan ia melibatkan isu yang menjejaskan nama baiknya.
Setakat ini, Ellie masih belum memberikan sebarang respons terhadap permohonan maaf yang dibuat oleh Imran Bard.
Sumber : Instagram