Pendedahan Mengejut: Kajian Sahkan Beras Tempatan Dicampur Dalam Beras Import!
Isu pencampuran beras tempatan ke dalam beras import akhirnya terbukti benar! Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (genetik) dari Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Mohd Syahril Firdaus Ab Razak, mengesahkan bahawa hasil kajian mendapati sekitar 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dianalisis mengandungi campuran beras putih tempatan (BPT).
Kajian yang dijalankan menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) ini berlangsung sepanjang tahun 2023 dan 2024. Menurut Mohd Syahril, sampel-sampel yang diperoleh datang daripada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang diambil terus dari pengilang untuk dianalisis.
Beras Tempatan Dicampur di Peringkat Pengilang?
Pihak penyelidik percaya pencampuran ini berlaku di peringkat pengilang, di mana petani menanam padi menggunakan benih tempatan sebelum menjual hasilnya kepada pengilang. Di sinilah beras tempatan dipercayai dicampurkan dengan beras import sebelum dijual kepada pengguna.
Tambahnya lagi, pusat penyelidikan MARDI memiliki profil DNA bagi lebih 50 varieti padi untuk membuktikan sumber asal beras yang diuji. Teknologi ini membolehkan pihak berkuasa mengesan dan membuktikan pencampuran beras secara saintifik.
Malah, analisis yang dijalankan juga sangat teliti. Sampel beras diambil dari tiga bahagian dalam setiap kampit—atas, tengah, dan bawah—sebelum melalui proses pengekstrakan DNA. Ini bagi memastikan keputusan yang diperoleh benar-benar tepat dan tidak dipengaruhi oleh faktor luar.
Tiada Akta Halang Campuran Beras – Peraturan Baharu Diperlukan!
Apa yang lebih membimbangkan, tiada akta yang boleh menghalang perbuatan mencampurkan beras putih tempatan dan beras import ketika ini. Justeru, Mohd Syahril berharap agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat bekerjasama dengan pusat penyelidikan bagi mengkaji serta menggubal peraturan baharu untuk menangani isu ini.
Menurut beliau, usaha ini sedang dilakukan bagi memastikan pengguna tidak terus tertipu dengan campuran beras tanpa kawalan. Isu ini juga semakin mendapat perhatian apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, sebelum ini memberi bayangan bahawa mungkin terdapat penglibatan kartel dalam industri beras, termasuk penyalahgunaan kuasa oleh syarikat yang mengawal bekalan benih dan import.
Sumber : SinarHarian