Diisytihar Bankrap, Semua Cawangan KFC & Pizza Hut Di Turkiye Ditutup
Jenama makanan segera terkemuka, KFC dan Pizza Hut, berdepan kejatuhan di Turkiye selepas pengendali utamanya, İş Gıda, diisytiharkan bankrap. Keputusan ini menyebabkan kesemua 537 cawangan KFC dan Pizza Hut di negara tersebut ditutup serta-merta, sekaligus menjejaskan kira-kira 7,000 pekerja yang kini kehilangan pekerjaan. Syarikat itu dilaporkan mengalami hutang mencecah $214 juta (7.7 bilion lira Turki), menyebabkan mereka tidak lagi mampu meneruskan operasi.
Menurut laporan tempatan, beberapa faktor utama menjadi penyebab kepada kejatuhan drastik ini. İş Gıda dikatakan telah menjalankan pengembangan perniagaan secara agresif dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2020, syarikat ini hanya memiliki 138 cawangan KFC dan 58 cawangan Pizza Hut, namun jumlah itu meningkat dengan mendadak kepada 537 cawangan menjelang 2024. Pertumbuhan pesat ini didorong oleh pinjaman yang tinggi, tetapi dengan kadar faedah yang semakin meningkat serta masalah kecairan dana, mereka akhirnya gagal menguruskan kewangan dengan baik.
Selain itu, faktor lain yang turut menyumbang kepada kejatuhan İş Gıda adalah boikot global terhadap jenama-jenama yang dikaitkan dengan Israel susulan konflik di Gaza. Laporan mendakwa jualan di Turkiye menjunam sehingga 40 peratus akibat boikot yang semakin meluas. Gangguan rantaian bekalan turut memberi kesan apabila pembekal ayam mula menerima pesanan yang berkurangan beberapa bulan sebelum syarikat itu gulung tikar.
Penutupan besar-besaran bukan hanya melibatkan jenama KFC, tetapi juga Pizza Hut, yang turut beroperasi di bawah İş Gıda. Ini memberi tamparan hebat kepada pasaran makanan segera di Turkiye kerana kedua-dua jenama ini mempunyai jumlah pelanggan yang besar di negara tersebut.
Bukan hanya itu, isu pembayaran gaji pekerja turut menjadi perhatian. Ribuan pekerja mendakwa mereka masih belum menerima gaji bagi bulan Januari, meskipun İş Gıda sebelum ini berjanji akan melunaskan bayaran sebelum penghujung Februari. Namun, dengan pengisytiharan bankrap, janji tersebut gagal ditunaikan, menyebabkan ramai pekerja menghadapi kesulitan kewangan.
Terdapat juga dakwaan berlakunya salah urus kewangan dalam syarikat itu. Beberapa laporan menyebut bahawa İş Gıda telah mengalihkan dana syarikat ke anak syarikat lain seperti Krispy Kreme serta sebuah kilang rim di Jerman, ketika mereka sedang berdepan krisis kewangan. Malah, lebih mengejutkan, eksekutif syarikat tersebut dikatakan menggunakan wang syarikat untuk membeli rumah agam bernilai $50 juta, meskipun ketika itu syarikat sedang bergelut dengan hutang yang besar.
Penutupan besar-besaran KFC dan Pizza Hut di Turkiye bukan sekadar memberi kesan kepada ekonomi negara tersebut, tetapi juga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan jenama antarabangsa lain yang masih beroperasi di sana. Dengan boikot global yang semakin meluas serta ketidaktentuan ekonomi, adakah jenama lain bakal berdepan nasib yang sama?
Sumber : TheVocket