· · · · · · ·

Akmal Old Money Sapu 40 Slot, Infak RM20,000 Untuk Berbuka Puasa

Dalam diam, pempengaruh yang dikenali sebagai Akmal Old Money mencuri perhatian ramai apabila mengambil keseluruhan slot infak berbuka di sebuah masjid di Bukit Jelutong.

Perkara ini menjadi bualan selepas seorang individu, @azmir44, berkongsi di platform Threads mengenai sumbangan besar yang dilakukan oleh Akmal. Dalam hantaran tersebut, dia menunjukkan papan nama penginfak yang jelas tertera nama Akmal sebagai penaja bagi keseluruhan 40 slot berbuka, dengan jumlah infak sebanyak RM20,000.

Menurut @azmir44, satu slot tajaan berbuka dan moreh di masjid tersebut berharga RM500. Dengan Akmal menaja kesemua 40 slot dalam sehari, masjid dapat menyediakan makanan berbuka puasa dan moreh untuk 1,000 orang jemaah.

 

Sumbangan Dalam Senyap, Jadi Inspirasi Buat Ramai

Apa yang lebih menarik, tindakan Akmal ini dibuat tanpa sebarang hebahan atau promosi di media sosialnya sendiri, menunjukkan keikhlasan dalam memberi. Ramai netizen kagum dengan pendekatan ini, menyifatkannya sebagai satu contoh terbaik bagaimana seseorang yang memiliki kemampuan dapat membantu komuniti tanpa perlu menunjuk-nunjuk.

Selain infak berbuka puasa, masjid tersebut juga membuka peluang sumbangan lain seperti tajaan bubur lambuk, sahur 10 malam terakhir, dan bantuan khas untuk ahli kariah. Dengan sumbangan sebanyak RM4000 sehari, sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dapat diedarkan kepada jemaah selepas solat Asar. Bagi tajaan sahur pula, setiap hari memerlukan 20 slot dengan jumlah keseluruhan RM10,000 untuk menyediakan makanan kepada 500 orang.

Tindakan Akmal Old Money ini bukan sahaja membantu ramai yang memerlukan, tetapi turut menjadi inspirasi buat masyarakat agar lebih banyak pihak tampil memberi sumbangan sepanjang Ramadan.

 

Sumber : TheVocket