· · · · · · ·

Wang Tunai RM170 Juta, 16kg Jongkong Emas Dijumpai – SPRM Bongkar Skandal Besar libatkan Bekas Perdana Menteri ke9  Ismail Sabri

Skandal rasuah terus menjadi perhatian apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas dalam tiga peti besi di sebuah kondominium mewah di ibu negara. Kediaman itu dipercayai dijadikan ‘safe house’ oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lokasi ‘Safe House’ & Rampasan Besar-Besaran

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa wang tunai tersebut melibatkan pelbagai mata wang antarabangsa termasuk baht, riyal, pound sterling, won, euro, Swiss franc dan yuan. SPRM juga mendapati bahawa kediaman di Kuala Lumpur itu disewa oleh individu yang mungkin merupakan salah seorang daripada empat suspek yang telah ditangkap sebelum ini.

Selain wang tunai, jongkong emas seberat 16 kilogram turut dirampas, dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Siasatan Berterusan, Aset Lain Mungkin Terlibat

Azam Baki menyatakan bahawa SPRM sedang meneliti jika terdapat aset lain yang berkaitan dengan kes ini dan siasatan masih diteruskan.

“Kita siasat kes ini dengan profesional tanpa memilih darjat dan kedudukan seseorang. Kita bukan hanya menyiasat projek yang terlibat, tetapi juga siapa sahaja yang mendapat ‘manfaat’ daripada kes ini,” katanya.

Menurut SPRM, Ismail Sabri telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024.

Sebelum ini, dua individu bergelar Datuk merupakan antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri yang telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan. Tiga daripada mereka direman selama lima hari bermula 21 Februari, manakala seorang lagi direman selama tiga hari di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009.

Sumber : ASTRO AWANI