Penyampai 3 Pagi Era Mohon Maaf Secara Terbuka Isu Video Kontroversi
Penyampai radio segmen 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin, dan Azad Jazmin akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka berhubung video yang didakwa mempersenda perayaan Thaipusam.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial Era FM pada pagi ini selepas hantaran terdahulu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penganut Hindu.
Mohon Maaf & Akui Kesilapan
Dalam video tersebut, Nabil Ahmad mewakili trio penyampai berkenaan menzahirkan permohonan maaf kepada semua pihak yang terkesan.
“Salam sejahtera kepada semua sahabat kami. Kami di 3 Pagi Era ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami yang dimuat naik di laman sosial Era, baru-baru ini. Ini berhubung aksi kami yang kurang menyenangkan dan menyinggung hati segelintir pihak dan sahabat berbangsa India.”
Sementara itu, Radin mengakui kesilapan mereka dan berjanji akan lebih berhati-hati agar insiden sebegini tidak berulang pada masa akan datang.
“Sebenarnya, kami juga mengakui kesilapan dan kekhilafan. Kami akan pastikan perkara sama tidak akan berulang pada masa akan datang.”
Azad Jazmin, yang menjadi tumpuan dalam video berkenaan kerana meniru gerakan tarian keagamaan Hindu, turut mengakui kesilapannya dan menerima segala teguran dengan hati terbuka.
“Kami sentiasa terbuka menerima segala komen ataupun kritikan untuk memperbaiki diri, terutamanya daripada pendengar setia di Era. Jadi, sekali lagi kami menyusun jari memohon maaf atas kesilapan tanpa sedar yang dilakukan. Maaf sangat-sangat daripada kami di 3 Pagi Era.”
Netizen & Komuniti Beri Reaksi Berbeza
Permohonan maaf ini dibuat selepas video yang memaparkan aksi mereka tular di media sosial dan mengundang kecaman. Ramai menganggap tindakan mereka sebagai tidak sensitif terhadap kepercayaan masyarakat Hindu.
Walaupun ada pihak yang menerima permohonan maaf tersebut, ada juga yang berpendapat tindakan mereka tidak boleh dimaafkan begitu sahaja. Beberapa netizen menuntut agar tindakan lebih tegas diambil terhadap trio penyampai radio itu.
Sebelum ini, pihak pengurusan Era FM telah mengumumkan bahawa Nabil, Radin dan Azad akan direhatkan dari ke udara buat sementara waktu, namun tiada kenyataan lanjut mengenai tempoh tindakan tersebut.
Sumber : Instagram



