· · · · · ·

Wang Tak Dituntut Kini Mencecah RM12.7 Bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah baki Wang Tak Dituntut (WTD) yang direkodkan sehingga 31 Januari lalu, mencecah RM12.7 bilion.

Kementerian Kewangan menyatakan bahawa individu atau waris yang berhak boleh mengemukakan permohonan tuntutan secara dalam talian di laman sesawang https://egumis.anm.gov.my/ atau hadir ke kaunter Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di setiap negeri.

Kaedah semakan dan tuntutan boleh dirujuk di portal eGUMIS JANM atau di kaunter JANM, bergantung kepada pilihan pemohon.

Menurut Kementerian Kewangan, JANM telah mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan mengenai WTD kepada pemilik atau waris, antaranya melalui kempen kesedaran menerusi taklimat dan reruai di program kerajaan dan swasta seperti Program Madani Rakyat, hari terbuka, serta hari pelanggan di jabatan kerajaan dan tempat awam.

“Ini bagi membolehkan orang ramai membuat semakan sama ada mereka mempunyai wang yang masih belum dituntut,” kata kenyataan rasmi kementerian.

Sehingga 2024, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran telah diadakan di seluruh Malaysia bagi memberi pendedahan kepada rakyat mengenai kewujudan WTD serta kaedah menuntutnya.

Kementerian itu menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) di Dewan Rakyat mengenai jumlah terkini WTD, proses menuntut wang tersebut, serta langkah kerajaan untuk memastikan pemilik atau waris menyedari kewujudannya.

Selain itu, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa JANM turut mengadakan taklimat dalam talian kepada agensi kerajaan dan swasta bagi menerangkan prosedur semakan serta tatacara permohonan tuntutan WTD.

Dalam usaha memperluaskan capaian maklumat, JANM juga telah menyediakan perkhidmatan Kaunter Semakan dan Bayaran Balik WTD di beberapa lokasi strategik, selain hebahan berkala melalui saluran televisyen nasional bagi memastikan lebih ramai rakyat menyedari peluang untuk menuntut wang yang menjadi hak mereka.

Sumber : BeritaHarian