Wanita Malaysia Bangga Hasilkan Batik Untuk Logo Lacoste – “Satu Pengalaman Yang Takkan Dilupakan!”
Siapa sangka seni batik tradisional Malaysia kini terpampang di butik jenama antarabangsa! Seorang pelukis batik, Farah Mohan, meluahkan rasa bangga selepas diberi peluang untuk berkolaborasi dengan Lacoste dalam kempen khas sempena Ramadan Raya baru-baru ini.
Menerusi perkongsiannya di laman X, Farah berkongsi pengalaman mencanting batik khas untuk logo ikonik buaya jenama tersebut. Dia turut memaparkan proses pembuatan batik tersebut dari awal hingga ia akhirnya dipamerkan di butik Lacoste.
Menurutnya, menghasilkan karya ini bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi dengan kekangan masa serta tanggungjawab menjaga anak di sisi. Malah, dia terpaksa menyiapkan empat set lukisan batik untuk memastikan hasilnya benar-benar sempurna.
“Saya sangat berterima kasih kepada Lacoste kerana memberi kepercayaan kepada saya. Ini adalah kali pertama saya menghasilkan lukisan batik sebesar ini dalam karier saya,” katanya.
Perkongsian ini mendapat perhatian ramai yang memuji keindahan batik tersebut serta bangga melihat seni tradisional Malaysia dihargai di peringkat antarabangsa.
Sumber : SAYS
https://x.com/FarahMohan/status/1895071807344124190