· · · · · ·

Malaysia Bakal Hasilkan Cip AI Sendiri, Kerjasama Strategik Dengan Arm Holdings

Malaysia bakal menjadi pemain utama dalam industri semikonduktor global melalui perkongsian strategik bersama Arm Holdings Plc, yang akan menyaksikan negara ini mengeluarkan cip kecerdasan buatan (AI) buatan tempatan.

Kerjasama Teknologi Tinggi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa melalui kerjasama ini, cip berkemajuan tinggi akan direka, dikilangkan, diuji, dan dipasang di Malaysia sebelum dipasarkan ke seluruh dunia. Ini menandakan kemasukan Malaysia ke dalam gelombang kedua pembangunan cip, selaras dengan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang diperkenalkan tahun lalu.

Menurut Anwar, kerjasama ini akan memberi fokus kepada tiga aspek utama:

  1. Latihan tenaga pakar tempatan melalui program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera rekaan litar sepadu bagi membina bakat tempatan dalam industri semikonduktor.
  2. Pemilihan syarikat tempatan yang diberi akses kepada teknologi canggih dan portfolio Arm.
  3. Fasilitasi pembangunan produk semikonduktor untuk mempercepatkan pertumbuhan produk buatan tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri ini.

Impak Ekonomi & Peluang Pelaburan

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam temu bual khas bersama Bloomberg menyatakan bahawa perjanjian ini akan membuka peluang kepada Malaysia untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang lengkap dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dengan pelaksanaan kerjasama ini, Malaysia dijangka:

  • Mempercepatkan pembangunan cip buatan tempatan.
  • Mewujudkan sehingga 10 syarikat cip baharu dengan pendapatan tahunan mencecah AS$20 bilion.
  • Menyumbang satu mata peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, Arm Holdings juga akan membuka pejabat ASEAN pertamanya di Kuala Lumpur, dengan sasaran untuk memperluaskan pasaran hingga ke Australia dan New Zealand.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada kementerian dan agensi kerajaan yang merealisasikan kerjasama ini, termasuk MITI, MIDA, Kementerian Kewangan, dan Kementerian Ekonomi.

 

Sumber: AstroAwani