Malaysia Hindu Sangam Terima Permohonan Maaf Penyampai Radio Era FM, Siasatan Masih Berjalan
Malaysia Hindu Sangam (MHS) mengesahkan menerima permohonan maaf daripada tiga penyampai radio Era FM berhubung video tular yang didakwa memperlekehkan ritual kavadi sempena Thaipusam.
Insiden Cetus Kecaman, MHS Tegaskan Kepentingan Sensitiviti Agama
Presiden MHS, T. Genasan, dalam kenyataan kepada Bernama menegaskan bahawa personaliti media dan pencipta kandungan perlu lebih peka terhadap sensitiviti keagamaan dan budaya.
“Kejadian seperti ini tidak boleh diambil mudah kerana ia mengancam keharmonian dan rasa saling menghormati yang menjadi asas kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Insiden ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia mengenai kepentingan untuk menghormati semua agama dan budaya,” katanya.
Walaupun menerima permohonan maaf, Ganesan menegaskan bahawa permohonan maaf semata-mata tidak bermakna individu terlibat terlepas daripada tanggungjawab terhadap tindakan mereka.
“Permohonan maaf sahaja tidak melepaskan individu daripada akibat kelakuan mereka. Jika kemudaratan berlaku, mereka perlu bertanggungjawab,” tambahnya.
Siasatan Berjalan, Era FM Hadapi Tindakan Tegas
MHS turut mengesahkan bahawa pihak berkuasa masih menjalankan siasatan ke atas video yang mencetuskan kecaman luas daripada komuniti Hindu, selain menerima pelbagai laporan polis.
Pada 4 Mac, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap video tular tersebut.
Semalam, MCMC mengeluarkan notis hasrat untuk menggantung lesen pengendalian Era FM, memberikan tempoh 30 hari kepada stesen radio itu untuk mengemukakan maklum balas sebelum keputusan muktamad dibuat.
Penyampai Radio Era FM Mohon Maaf di Kuil Batu Caves
Tiga penyampai radio Era FM yang terlibat telah tampil memohon maaf secara terbuka, termasuk berkunjung ke kompleks kuil Batu Caves untuk menyampaikan permohonan maaf mereka kepada komuniti Hindu.
Astro Audio turut mengambil tindakan dengan menggantung tiga penyampai radio tersebut bersama dua petugas lain serta mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi kepada umum.
Sumber: BERNAMA