Bubur Lambuk ‘Air Tangan’ Tunku Azizah Jadi Rebutan Setiap Ramadan
Setiap kali menjelang Ramadan, bubur lambuk resipi asli ‘air tangan’ Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pastinya menjadi tumpuan, bukan sahaja rakyat Pahang malah turut dinantikan oleh penghuni penjara.
Meneruskan tradisi ini untuk tahun ini, baginda berkenan berangkat ke Penjara Penor, Kuantan semalam bagi menyediakan bubur lambuk berkenaan bersama kira-kira 50 penghuni penjara yang membantu dalam penyediaan resipi istimewa tersebut. Aktiviti gotong-royong yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu berjaya menghasilkan kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk untuk diagihkan sebagai juadah berbuka puasa.
Selepas siap memasak sekitar jam 1 tengah hari, Tunku Azizah sendiri mengagihkan bubur lambuk kepada sebahagian banduan dengan dibantu oleh Tengku Puteri Raja, Puteri Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Program memasak bubur lambuk ini sebenarnya baru sahaja diperkenalkan sejak tahun lalu melalui inisiatif khas bersama prospek penjara dan melibatkan tiga lokasi utama iaitu Penjara Penor, Penjara Bentong dan Penjara Marang, Terengganu. Walaupun baru tiga kali dilakukan di penjara, bagi rakyat Pahang, tradisi memasak bubur lambuk ini telah menjadi amalan turun-temurun bagi Tunku Azizah, bahkan sejak sebelum baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong ke-16.
Keistimewaan bubur lambuk Istana Pahang ini terletak pada ramuan yang unik seperti pucuk paku merah, ikan tenggiri, udang, sotong dan ayam yang digunakan sebagai bahan utama. Gabungan bahan segar ini bukan sahaja menghasilkan rasa yang lazat, malah memiliki kandungan protein yang tinggi, menjadikannya hidangan yang lebih berkhasiat.
Sumber: BeritaHarian