· · · · · ·

Hanya 0.91% Warga China Diberi Kewarganegaraan Malaysia Sejak 2010

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), warga China hanya membentuk kurang daripada 1 peratus daripada jumlah individu yang menerima kewarganegaraan Malaysia sejak 2010 hingga tahun lalu. Data ini dibentangkan sebagai jawapan kepada soalan lisan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin pada 6 Mac lalu.

Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hanya 0.91 peratus kelulusan kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu dari China dalam tempoh 14 tahun tersebut. Sebaliknya, Indonesia mendahului senarai dengan 23.52 peratus, diikuti India (6.76 peratus), Thailand (5.02 peratus), dan Filipina (2.77 peratus). Menariknya, 61.02 peratus kelulusan kewarganegaraan diberikan kepada rakyat dari negara-negara lain yang tidak dinyatakan secara khusus dalam jawapan KDN.

Walau bagaimanapun, kementerian itu tidak memberikan angka sebenar atau jumlah keseluruhan bagi peratusan yang dinyatakan.

Bongkar Mitos: 1.2 Juta Warga China Diberi Kerakyatan?

Pada 7 November tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan yang sering diulang bahawa kira-kira 1.2 juta warga China telah diberikan kewarganegaraan Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa sejak 2013, hanya 203 warga China sahaja yang diberi kerakyatan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Angka ini jelas bertentangan dengan naratif yang disebarkan oleh sesetengah pihak,” tegas Saifuddin.

Beliau turut mengingatkan bahawa dakwaan serupa pernah dinafikan oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin. Malah, pada 9 November lalu, Saifuddin mengumumkan bahawa polis akan menyiasat seorang khatib yang didakwa menyebarkan dakwaan palsu mengenai pemberian kerakyatan beramai-ramai kepada 1.2 juta warga China semasa khutbah Jumaat di sebuah masjid di Padang Serai.

Status Penduduk Tetap (MyPR): Filipina Penerima Terbanyak

Selain kewarganegaraan, KDN juga mendedahkan statistik status penduduk tetap (MyPR) yang dikeluarkan antara 2010 hingga 2024.

Filipina mencatatkan peratusan tertinggi dengan 35.55 peratus, diikuti Indonesia (26.38 peratus), Thailand (8.73 peratus), India (5.99 peratus), dan Singapura (2.72 peratus). Sebanyak 20.63 peratus MyPR pula diberikan kepada individu dari negara-negara lain yang tidak disebut secara khusus.

Pengeluaran MyPR ini adalah selaras dengan Peraturan 3, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang mewajibkan setiap pemastautin tetap mendaftar dan memperoleh kad pengenalan dalam tempoh 30 hari selepas mencapai umur 12 tahun atau dari tarikh permit masuk dikeluarkan

Sumber: AstroAwani