· · · · · ·

Tesla ‘Tergugat’, Proton Ungguli Carta Kereta Elektrik di Malaysia!

Kalau sebelum ini nama Tesla sentiasa gah sebagai peneraju utama pasaran kenderaan elektrik (EV) global, kini jenama gergasi itu nampaknya mula berdepan ancaman serius di Malaysia. Lebih mengejutkan, pesaing terdekat mereka bukanlah BMW atau mana-mana jenama antarabangsa, tetapi Proton! Menurut data terbaharu JPJ yang didedahkan portal automotif popular, Paultan.org, Proton mencatatkan jualan jauh lebih tinggi berbanding Tesla sepanjang Januari dan Februari 2025, sekali gus mengejutkan ramai peminat automotif tempatan.

Berdasarkan data terkini pendaftaran kenderaan oleh JPJ, Proton berjaya merekodkan jualan EV sebanyak 456 unit dalam masa dua bulan melalui model elektrik popularnya, Proton e.Mas. Pencapaian ini jauh meninggalkan Tesla yang hanya mencatat jualan sebanyak 13 unit pada Januari, dan meningkat kepada 443 unit pada Februari. Malah, angka ini jelas menunjukkan Proton kini sudah mula mendapat kepercayaan rakyat Malaysia, malah mampu mencabar dominasi jenama-jenama EV terkemuka dunia. Situasi ini menghangatkan lagi persaingan pasaran EV tempatan yang sebelum ini didominasi jenama antarabangsa seperti Tesla dan BMW.

Pihak Proton turut mengakui bahawa kejayaan ini bukan sekadar nasib, tetapi merupakan hasil sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap visi mereka ke arah mobiliti lebih mesra alam. Proton turut menyatakan komitmen mereka untuk terus memperkukuhkan lagi ekosistem EV tempatan yang bukan saja mesra pengguna tetapi mampu dimiliki semua golongan. Adakah ini isyarat bahawa Proton bakal menjadi jenama EV nombor satu di Malaysia? Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya!

Sumber:  portal Paultan.org