Dari Pelakon Filem Dewasa ke Peluk Islam di Malaysia — Perjalanan Spiritual Rae Lil Black Curi Perhatian Dunia
Bekas bintang filem dewasa Jepun, Rae Lil Black mengejutkan ramai apabila mengumumkan dirinya telah memeluk Islam semasa bulan Ramadan. Pengumuman mengejut ini mencetuskan pelbagai reaksi, lebih-lebih lagi selepas beliau berkongsi momen kehidupannya yang kini berbeza di media sosial.
Rae, atau nama sebenarnya Kae Asakura, mula memberi bayangan tentang penghijrahannya pada Februari 2025, di mana beliau mengaku telah menemukan agama selepas bertahun-tahun berasa “hilang arah”. Pada 2 Mac lalu, beliau memuat naik video menikmati iftar pertamanya sambil mengenakan hijab hitam yang sederhana, simbol jelas perubahannya ke arah hidup yang lebih tenang.
Rae mendedahkan bahawa perjalanan spiritualnya bermula sewaktu melawat Malaysia pada Oktober 2024. Menurutnya, beliau tertarik dengan kehangatan masyarakat tempatan dan mendalami Islam dengan mengunjungi beberapa masjid di Kuala Lumpur. Dengan bantuan rakan-rakan dan sumber dari YouTube, Rae mula mempelajari cara solat dan kini sudah mengamalkan lima waktu solat sehari.
“Saya mula solat kerana saya ingin mendapatkan pertolongan daripada sesuatu yang lebih besar dan berkuasa,” kongsinya. “Selepas itu, saya rasa sangat tenang… seolah-olah satu beban besar telah hilang.”
Namun, langkah Rae tidak terlepas daripada kontroversi. Dilaporkan, beliau kehilangan hampir satu juta pengikut selepas berita mengenai penghijrahannya tersebar. Bagaimanapun, Rae tetap tenang dan menyatakan bahawa keputusannya untuk memeluk Islam telah membawa banyak perubahan positif dalam hidupnya, termasuk memperbaiki hubungan dengan ibu bapanya.
“Dulu saya hanya bercakap dengan ayah saya dua kali setahun. Sekarang, saya lebih kerap menghubungi mereka dan berbual tentang pelbagai perkara,” tambahnya.
Rae turut menjelaskan bahawa dia telah menjauhkan diri daripada industri filem dewasa sejak beberapa tahun lalu. Namun, dia mengakui terdapat beberapa video lamanya yang belum diterbitkan, dan nasib kandungan tersebut kini di tangan pihak produksi.
“Ini mungkin buat orang fikir saya masih aktif dalam industri itu, tapi sebenarnya tidak,” jelasnya.
Bagi Rae Lil Black, perjalanan ini lebih daripada sekadar perubahan gaya hidup — ia adalah langkah besar dalam mencari ketenangan selepas bertahun-tahun hidup dalam kekosongan.
Sumber: Soutuh China Morning Post