· · · · · ·

Minta Maaf Kena Bersemuka, Bukan Guna Telefon – Ellie Suriaty Beri Tempoh Hingga Raya Buat Imran Bard

Pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty menegaskan bahawa dirinya tidak akan menerima permohonan maaf daripada pempengaruh media sosial, Imran Bard, jika hanya disampaikan melalui telefon. Sebaliknya, Ellie memberi tempoh sehingga Aidilfitri untuk Imran tampil bersemuka bagi menyelesaikan isu yang telah mencalarkan reputasinya.

Menurut Ellie, pemilik nama sebenar Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff itu sepatutnya bertemu dengannya sebelum Ramadan lagi, namun Imran memberi alasan bahawa dia berada di kampung ketika itu. Ellie kini memberikan tempoh sehingga Syawal bagi Imran mengatur pertemuan secara bersemuka, atau berdepan dengan tindakan lanjut oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

“Saya tidak akan diamkan perkara ini kerana ia melibatkan maruah dan masyarakat. Sebagai seorang pempengaruh, dia perlu sedar bahawa apa yang dilakukan boleh memberi kesan baik atau buruk kepada orang lain. Malangnya, dalam kes saya ini, kesannya lebih kepada buruk,” kata Ellie.

Maruah Tercalar, Wang Ringgit Tak Dapat Ganti

Ellie turut meluahkan rasa kecewanya kerana reputasinya yang dibina selama tiga dekad kini tercalar gara-gara video yang dimuat naik Imran.

“Berapa harga maruah seseorang? Takkan nilai saya hanya RM200,000, RM500,000 atau RM1 juta? Saya ini ciptaan Allah yang tak ternilai,” ujarnya tegas.

Tambah Ellie, beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Imran terus mengelak daripada bertemu dengannya.

‘Minta Maaf Guna Telefon, Itu Bukan Cara’

Mengulas lanjut, Ellie menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya untuk memohon maaf dengan cara yang betul — iaitu bersemuka dan bukan melalui panggilan telefon.

“Kalau nak minta maaf, kena jumpa dengan orang yang kita dah sakitkan hatinya. Barulah boleh tahu sama ada dia benar-benar ikhlas atau sekadar takut dikecam,” tegasnya.

Imran sebelum ini dilaporkan telah memohon maaf menerusi Instagram Story berhubung video TikTok yang dikatakan mengandungi unsur fitnah terhadap Ellie. Namun, permohonan maaf itu tidak diterima oleh pelakon filem Memoir Seorang Guru ini.

Sumber:  Ellie Suriaty