· · · · · ·

Yassin Bukan Dipenjara, Tapi di Pusat Rehab Dah Hafal 20 Juzuk Al-Quran – Apek Senario

Pelakon dan pelawak popular, Saiful Apek, tampil mendedahkan keadaan sebenar sahabat baiknya, Yassin, yang sebelum ini dilaporkan ditahan di Arab Saudi. Menurut Apek, Yassin sebenarnya tidak ditahan di penjara, sebaliknya berada di sebuah pusat pemulihan yang dilengkapi pelbagai fasiliti.

Apek menjelaskan bahawa mereka sebelum ini mengambil pendekatan untuk berdiam diri demi menghormati keluarga Yassin. Bagaimanapun, beliau kini lega apabila mengetahui bahawa Yassin berada dalam keadaan baik dan dijangka pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri.

“Alhamdulillah, kami rasa lega bila dapat tahu keadaan Yassin yang sebenar. Dia bukan ditahan di penjara, tetapi di pusat pemulihan. Ramai yang buat andaian, jadi lebih baik kita tunggu Yassin pulang dan dia sendiri akan ceritakan perkara sebenar,” jelas Apek ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama pelakon filem 6 Jilake di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Rabu.

Kini Hafal 20 Juzuk Al-Quran

Dalam perkongsian yang lebih menggembirakan, Apek turut memberitahu bahawa Yassin kini telah menghafal sehingga 20 juzuk Al-Quran sepanjang berada di Arab Saudi.

“Dia dapat mengikuti kursus percuma di sana. Saya percaya tiada yang berlaku secara kebetulan, semua ini pasti ada hikmahnya. Kami hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk dia,” katanya.

Apek turut berkongsi bahawa beliau sempat berhubung dengan Yassin menerusi panggilan video dan melihat sahabatnya itu dalam keadaan sihat, malah berat badannya juga telah meningkat daripada saiz S ke saiz M.

Tiada Masalah Kewangan Kritikal

Ketika ditanya sama ada Yassin mengalami masalah kewangan sepanjang berada di sana, Apek menegaskan bahawa segala urusan berjalan lancar dengan bantuan rakan-rakan yang sentiasa bersedia menghulurkan sokongan.

“Kami ini sudah lama bersahabat. Kalau saya yang ditimpa musibah pun, saya percaya kawan-kawan saya juga akan lakukan perkara yang sama untuk bantu saya,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang rakyat Malaysia ditahan di Jeddah atas dakwaan memiliki dadah jenis ganja. Individu berkenaan yang disahkan sebagai Yassin sedang menjalani hukuman selama enam bulan sejak November lalu. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan beliau dibebaskan lebih awal sekiranya berkelakuan baik.

Sumber:  SaifulApek