Shuk Sahar nafi biar isteri gantung tak bertali, perkahwinan belum didaftarkan pun sebenarnya
Pelawak dan pengacara, Shuk Sahar menafikan dakwaan bahawa dirinya sengaja membiarkan isterinya, Fara Salleh, dalam keadaan gantung tak bertali susulan kemelut rumah tangga mereka yang kini menjadi perhatian ramai.
Dalam satu temu bual bersama Melodi TV3, Shuk menjelaskan bahawa dia sendiri sedang menunggu surat dari pihak mahkamah jika benar Fara telah memfailkan perceraian terhadapnya. Bagaimanapun, Shuk mendakwa pemfailan tersebut tidak mungkin berlaku kerana perkahwinan mereka dikatakan masih belum didaftarkan secara rasmi.
Shuk turut menegaskan bahawa isu mengapa perkahwinan mereka belum didaftarkan seharusnya ditanyakan kepada Fara sendiri kerana dia enggan terlalu bercerita mengenai hal tersebut.
Bekas penyampai radio Hot FM itu juga menyatakan bahawa dia kini lebih memilih untuk fokus pada dirinya sendiri dan mengelak membuat keputusan terburu-buru yang mungkin akan disesali kelak.
Dalam situasi sekarang ini, saya lebih memilih untuk memberi perhatian kepada diri sendiri. Saya tak mahu buat keputusan dalam keadaan fikiran yang tak stabil kerana bimbang akan menyesal nanti.
Ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya dia menolak tanggungjawab ke atas kandungan yang didakwa milik Fara, Shuk menafikan sekeras-kerasnya. Malah, dia meminta agar bukti dikeluarkan jika benar dia pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.
Saya masih Islam dan masih berpuasa. Demi Allah, saya tak pernah cakap yang anak itu bukan anak saya. Kalau betul saya pernah cakap, sila tunjukkan bukti.
Shuk turut menambah bahawa dirinya tidak bodoh untuk mengabaikan anak-anaknya dan menegaskan bahawa dia tetap menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.
Sebelum menutup temu bual tersebut, Shuk berharap agar kemelut rumah tangganya dapat diselesaikan sebaik mungkin, namun dia akur dengan apa sahaja ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Saya sayangkan isteri saya, tetapi dalam masa yang sama, saya pun ada hadnya. Perkahwinan ini perlukan usaha dari kedua-dua belah pihak, bukan sebelah pihak sahaja. Kalau hanya satu pihak yang berusaha, takkan ke mana juga.
Imbas kembali, Fara sebelum ini mendakwa Shuk sebagai seorang suami yang tidak bertanggungjawab dan lebih mengutamakan rakan-rakannya. Untuk rekod, Shuk berkahwin dengan Fara Salleh pada November 2023 selepas bercerai dengan Rossa Sera pada 22 Mac 2023. Hasil perkahwinan dengan Rossa Sera, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain dan Nur Assyifatu Aimi.
Sumber: Melodi