· · · · · ·

Siti Nurhaliza terima panggilan scammer ketika live di TikTok, reaksi selamba buat ramai terhibur

Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencuit hati ramai apabila menerima panggilan daripada seorang scammer ketika sedang mengadakan sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini.

Menerusi rakaman yang dikongsikan di laman X, Siti atau lebih mesra disapa TokTi kelihatan terpinga-pinga sebaik menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.

“Siapa pula call saya ni? Saya ada call Grab ke?” soal TokTi sambil menjawab panggilan tersebut.

Dalam panggilan itu, seorang lelaki yang bertutur dalam bahasa Inggeris dengan loghat asing mendakwa dirinya wakil bahagian khidmat pelanggan sebuah syarikat pelaburan.

Sedar dirinya sedang berdepan panggilan scammer, TokTi segera menamatkan panggilan dengan alasan yang cukup bersahaja.

“Ohh long number, long number. Sorry aaa. Madai, madai,” katanya sambil ketawa kecil, membuatkan penonton yang menyaksikan sesi live tersebut turut terhibur.

TokTi kemudian menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan panggilan tidak dikenali, terutamanya yang berkaitan pelaburan.

“Kadang-kadang mereka dapat nombor kita secara rawak. Mungkin juga dia tahu nombor saya, tapi dia tak tahu siapa saya,” jelas TokTi.

Scammer ‘bertuah’ dapat call TokTi

Di ruangan komen, rata-rata netizen berseloroh mengatakan scammer tersebut ‘bertuah’ kerana berpeluang bercakap dengan penyanyi kesayangan ramai. Ada juga yang bergurau bahawa scammer itu pasti menerima penolakan paling merdu dalam hidupnya.

Selain itu, netizen turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan segera menghubungi Talian Respon Scam Kebangsaan di 997 jika menjadi mangsa penipuan.

Untuk rekod, sebelum ini Siti Nurhaliza pernah mendedahkan terdapat pihak yang menyamar sebagai dirinya di media sosial untuk menipu orang ramai. Malah, pernah terdapat laporan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan bagi meniru suara TokTi untuk mempromosikan produk tanpa kebenarannya.

 

Sumber:  Twitter.com