· · · · · ·

‘Penjara 7 tahun, 2 sebatan, denda RM10 juta’ – Bella Astillah Kongsi Kata Semangat Buat Syed Saddiq

Pelakon dan penyanyi Bella Astillah menarik perhatian ramai apabila menitipkan kata-kata semangat buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelang keputusan prosiding rayuan kes yang dihadapinya di Mahkamah Rayuan Putrajaya pagi ini.

Menerusi ciapan ringkas di platform X, Bella yang berusia 31 tahun menulis, “Doa orang ramai mengiringimu @syedsaddiq.”

Ciapan tersebut disertakan dengan foto mereka berdua, sekali gus menimbulkan reaksi pelbagai daripada netizen yang terus mengaitkan mereka dengan isu ‘trending’ sebelum ini.

Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq menjadi bualan hangat di media sosial baru-baru ini selepas muncul sebagai model baju raya bagi sebuah jenama fesyen terkenal.

Sementara itu, dalam video berdurasi 37 saat yang dikongsi di media sosial, Syed Saddiq turut meminta semua pihak agar mendoakan kebenaran dan keadilan buat dirinya menjelang keputusan mahkamah tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada senjata yang lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi pada hari istimewa iaitu Nuzul Quran.

Terdahulu, Syed Saddiq memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk segera melengkapkan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Rayuan dijadualkan membuat keputusan terhadap rayuan kes yang berkaitan dengan dana Armada yang dihadapi Syed Saddiq.

Sumber:  SINARHARIAN