· · · · · ·

Transgender Kontroversi Muhammad Sajjad Kembali Pulang ke Malaysia, Luah Rasa Syukur Selepas Sekian Lama di Australia

Usahawan dan pempengaruh media sosial, Nur Sajat mencuri perhatian ramai apabila berkongsi berita gembira bahawa dirinya telah selamat pulang ke Malaysia selepas beberapa tahun menetap di Australia.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman memuat naik gambar dirinya berada di dalam kapal terbang dengan pemandangan dari tingkap pesawat yang menandakan kepulangannya ke tanah air.

Dalam kapsyen ringkas tetapi bermakna, Sajat meluahkan rasa syukur kerana akhirnya berpeluang untuk kembali ke tanah air selepas beberapa tahun di perantauan.

“Alhamdulillah, selamat sampai. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri,” tulisnya sambil menambah tanda pagar #balikkampung #amin #nursajat.

Kepulangan Sajat ke Malaysia nyata menarik perhatian ramai, di mana ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri ucapan syukur dan rasa gembira daripada para pengikutnya.

Untuk rekod, Sajat memutuskan untuk berhijrah ke Australia pada tahun 2021 selepas diburu pihak berkuasa Malaysia berhubung beberapa kes yang melibatkan dirinya.

Sebelum ini, usahawan kontroversi itu pernah berdepan dengan dua pertuduhan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berpakaian seperti wanita serta memuat naik gambar yang dianggap tidak sopan di media sosial miliknya.

Pada Jun 2023, Sajat pernah menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dalam tempoh setahun lebih bagi bertemu keluarga dan peminatnya, dan kini hasrat tersebut akhirnya menjadi kenyataan.

Sumber:  INSTAGRAM