Penduduk Flat Taman Impian Indah Resah, Warga Asing Pengotor Ludah Merata
Penduduk di Flat Taman Impian Indah, Seri Kembangan, kini semakin buntu dengan sikap pengotor segelintir warga asing yang didakwa sering meludah merata-rata, terutama sekali di kawasan dinding dan tangga.
Perbuatan jijik ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kesihatan dalam kalangan penduduk. Salah seorang penghuni meluahkan rasa kecewa mereka kepada Edisi Siasat dengan berkata:
“Assalamualaikum ES, tengoklah perangai pengotor warga asing meludah merata-rata di tangga. Dah tak tahu nak buat aduan di mana sebab dah berapa kali buat aduan tak ada tindakan diambil. Saya mohon sangat mana-mana penguat kuasa tolonglah ambil tindakan atas sikap pengotor warga asing ini.”
Penduduk turut bimbang air liur tersebut berkemungkinan tercemar dengan wabak berbahaya memandangkan mereka tidak mengetahui status kesihatan warga asing terbabit.
“Kita pun tak pasti mereka punya rekod kesihatan macam mana, yang pasti setiap hari mesti akan ada kesan ludahan di tangga. Harap akan ada tindakan yang diambil,” katanya lagi.
Difahamkan, kejadian ini berlaku di Taman Impian Indah, Jalan Impian Indah 2, 43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.
Masalah ini bukanlah perkara baharu kerana beberapa kawasan kediaman bertingkat, terutama flat dan rumah pangsa, pernah melaporkan masalah yang sama.
Tabiat meludah merata-rata ini dipercayai berkaitan dengan budaya segelintir warga asing yang mengunyah sirih, yang kemudian membawa tabiat tersebut ke Malaysia.
Penduduk kini benar-benar berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sebelum keadaan bertambah buruk.
Sumber: VOCKET